Oleh Azlan Othman
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Pengeluaran komersial dan eksport industri hiliran bermula tahun 2019 dijangka merangsang ekonomi Negara Brunei Darussalam dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, yang diramalkan mencecah 1.6 peratus pada tahun ini dan 3.4 peratus pada tahun depan dengan inflasi 0.2 peratus pada tahun ini dan 0.4 peratus pada tahun depan.
Kenyataan itu adalah berdasarkan laporan dari Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Prospek Ekonomi Serantau ASEAN+3 (AREO) 2018.
Ia menambah, ekonomi yang bergantung pada sumber seperti Brunei Darussalam telah memulakan proses persepaduan perniagaan menerusi eksport barangan yang dihasilkan, atau dalam proses mempelbagaikan ekonomi mereka daripada perlombongan kepada pengeluaran.
Laporan menambah, selepas mencatat kemerosotan selama empat tahun, ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan, didorong oleh pemulihan dalam sektor minyak dan gas, dan perkembangan dalam pelaburan.
Di antara tahun 2013 dan 2016, ekonomi merosot tatkala harga minyak jatuh kepada tahap paling rendah dalam satu dekad dan pengeluaran minyak terjejas daripada gangguan yang tidak dijangka itu.
Sejak suku kedua 2017, pertumbuhan telah meningkat di sebalik pengeluaran minyak dan gas yang lebih tinggi dan perkembangan pelaburan persendirian.
Pemulihan yang sederhana dalam harga minyak dan gas, dan kemajuan selanjutnya dalam infrastruktur dan projek pembinaan pelaburan langsung asing (FDI) dijangka menyumbang kepada pertumbuhan KDNK yang positif sebanyak 0.6 dan 1.6 peratus masing-masing pada tahun 2017 dan 2018. Untuk tahun 2018, inflasi dijangka mencatat angka positif sejajar dengan permintaan domestik yang kukuh.
Laporan juga berkata eksport dalam tempoh Januari hingga November 2017 bertumbuh sebanyak 11.5 peratus, berbanding dengan -22.4 peratus pada tahun lalu, selaras dengan pemulihan yang sederhana dalam harga minyak.
Bagaimanapun, dalam tempoh yang sama, import meningkat sebanyak 14.4 peratus, naik daripada -18 peratus pada tahun lalu disebabkan pelaksanaan dua projek pembinaan besar-besaran (projek jambatan Temburong dan Projek Loji Penapisan Minyak dan Petrokimia Hengyi).
Memandangkan akaun perkhidmatan dan pendapatan sekunder berada dalam keadaan defisit, lebihan akaun semasa diramalkan akan terus merosot.
Namun, ia dijangka meningkat dari tahun 2019 apabila industri hiliran memulakan pengeluaran komersial dan eksport mereka.
Laporan AMRO menambah, kebergantungan yang tinggi pada sektor berkaitan minyak dan gas akan menimbulkan risiko kepada ekonomi dan sektor fiskal. Terdapat dua risiko utama yang berkaitan dengan sektor minyak dan gas iaitu gangguan yang tidak dijangka dalam pengeluaran disebabkan padang minyak lama dan harga minyak dan gas global yang tidak menguntungkan dalam jangka sederhana.
Pertumbuhan ekonomi Brunei serta sektor fiskal banyak bergantung pada pengeluaran minyak dan gas dan harga minyak global. Memandangkan sektor kerajaan mempunyai peranan penting dalam ekonomi dengan penggunaan dan pelaburan kerajaan menyumbang kepada lebih 30 peratus daripada KDNK. Kemerosotan seterusnya dalam pendapatan berkaitan minyak dan gas mungkin membatas keupayaan kerajaan untuk menyokong pertumbuhan.
Berhubung kawasan serantau dalam ASEAN+3, AMRO berkata pertumbuhan ekonomi serantau masih kukuh, mencerminkan perkembangan mapan dalam permintaan domestik yang disokong oleh dasar perkembangan makroekonomi, serta dorongan yang lebih kukuh daripada penggunaan semula perniagaan global.
Dalam kebanyakan ekonomi serantau, syarat-syarat pembiayaan masih baik di tengah aliran masuk modal yang positif, terutamanya dalam pasaran modal hutang. Prospek yang positif itu dijangka diteruskan dalam jangka pendek, walaupun risiko fahaman perlindungan perniagaan dan syarat-syarat kewangan yang lebih ketat telah meningkat baru-baru ini.
Dirangsang oleh keadaan yang positif dalam ekonomi global, pertumbuhan ekonomi serantau akan kekal mapan, diperkukuh lagi oleh permintaan domestik yang kukuh disokong oleh dasar perkembangan makroekonomi serta prestasi yang lebih memberangsangkan daripada eksport.
Pelaburan persendirian dijangka dirangsang oleh pemulihan dalam eksport, yang telah membawa kepada kadar penggunaan kapasiti yang lebih baik dalam sektor pengeluaran, yang sebaliknya akan memberikan dorongan tambahan kepada perbelanjaan modal.