Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – Industri teknologi maklumat (IT) Brunei mempunyai potensi yang amat besar untuk dikembangkan dan ruang kerjasama di antara syarikat IT luar negara dengan syarikat IT tempatan masih terbuka luas di mana kepakaran dari luar negara boleh dikongsi untuk mengembangkan industri IT tempatan.
Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Cawangan, Brother International (Malaysia) Sdn Bhd, Itsuo Segawa dalam temu bual ringkas bersama Media Permata selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) di antara Brother International (Malaysia) Sdn Bhd dan Bilster Technologies di Kiulap, hari ini.
Beliau berkata lagi bahawa pihaknya amat berminat untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan syarikat-syarikat IT tempatan untuk menerokai peluang bagi mengembangkan lagi industri IT di Brunei dan berharap akan dapat meningkatkan lagi bukan sahaja produk yang dipasarkan tetapi kerjasama dengan pihak-pihak yang berkenaan.
Beliau menyatakan bahawa sebagai usaha awal untuk meneroka pasaran IT di Brunei, Brother International (Malaysia) Sdn Bhd iaitu syarikat produk dan penyelesaian IT pengguna serta perniagaan telah memeterai MoU bersama dengan Bilster Technologies Brunei untuk menjadikan Bilster Technologies sebagai pengedar rasmi produk Brother di Brunei.
Jelasnya, MoU berkenaan adalah sebagai tanda komitmen kedua-dua belah pihak untuk menyediakan pelbagai produk yang berkualiti bagi para pengguna dan pelanggan korporat.
MoU itu juga merupakan langkah yang penting bagi Brother untuk memasuki pasaran Brunei dan percaya bahawa jenama produk berkenaan akan dapat terus dikembangkan bukan sahaja dalam sektor jualan tetapi juga dalam sektor pasaran korporat.
Terdahulu daripada itu, MoU telah dimeterai di antara Brother International (Malaysia) Sdn Bhd yang diwakili oleh Itsuo Segawa dan Ketua Jualan Cawangan, Brian Low dan Bilster Technologies yang diwakili oleh Pengurus Besar Concepts Group of Companies, Vincent Pao dan Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Bilster Technologies, Vivian @ Norshrya Haji Sabali.