Industri koko di Sarawak berdaya maju

KOTA SAMARAHAN, 21 DIS – Industri hiliran berasaskan koko di Sarawak mempunyai masa depan yang baik dan berdaya maju berikutan negeri ini antara pengeluar serbuk koko yang terbaik, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Willie Mongin.

Beliau berkata industri koko negara, khususnya di Sarawak memerlukan hala tuju baharu, dengan mengembangkan aktiviti hiliran komoditi itu dalam pengeluaran serbuk koko dan coklat.

Melihat prospek tersebut, katanya Lembaga Koko Malaysia (LKM) telah mengorak langkah dengan membina Pusat Pemprosesan Biji Koko dan Coklat (PPBKC) bernilai RM14 juta di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko LKM, Kota Samarahan.

PPBKC merupakan sebahagian daripada komponen di bawah SARA Cocoa Cluster di Sarawak, program yang menjadi pemangkin di peringkat huluan yang dilaksanakan mengikut konsep ‘farm to table’.

“Kita memerlukan hala tuju baharu untuk industri koko kita agar kita dapat meningkatkan lagi pengeluaran biji koko, menceburi aktiviti hiliran dalam pengeluaran serbuk koko dan blok coklat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus peningkatan kualiti koko Sarawak di sini hari ini.

Katanya beliau mahu lebih ramai penggiat industri koko menceburi aktiviti hiliran koko yang menjamin pendapatan lumayan berbanding dengan hanya menjual biji koko kering melalui program SARA Cocoa Cluster, yang melibatkan pembangunan tanaman koko di daerah Sebuyau, Padawan, Asajaya, Kota Samarahan, Tebedu dan Serian, dengan keluasan 525 hektar melibatkan 526 petani. – Bernama

Willie Mongin (dua, kiri) memeriksa biji koko yang di antara keluaran terbaik di dunia pada penyerahan kunci fasa 1 kompleks SARA Cocoa Cluster dan perasmian kursus peningkatan kualiti koko di Kompleks Lembaga Koko Malaysia kelmarin. – Bernama