Industri kulinari berdepan penutupan

HEIKRUIS, BELGIUM – Ketika perkhidmatan makan malam pada malam Jumaat dimulakan lebih awal di Restoran De Viering di luar Brussels, nampaknya keputusan pemilik restoran untuk memindahkan operasinya ke sebuah gereja luas di kawasan perkampu-ngan demi mengikut peraturan koronavirus, telah membuahkan hasil.

Tempahan telah penuh dibuat dan bahagian dapur sibuk menyediakan hidangan.

Dan kemudian perdana menteri Belgium telah memerintahkan agar kafe, bar dan restoran untuk ditutup sekurang-kurangnya sebulan disebabkan oleh lonjakan kes jangkitan.

“Sudah tentu, ia adalah sesuatu yang mengejutkan disebabkan oleh semua pelaburan telah saya buat,” kata Heidi Vanhasselt yang bekerja sebagai tukang masak.

Dia dan suaminya, Christope Claes telah memasang sebuah dapur dan tandas baharu di gereja Saint Bernardus di Heikruis, dan membayar sewa selama 10 bulan serta berusaha dengan memberikan segala-galanya untuk mencari penyelesaian yang kreatif.

Heidi Vanhasselt bersama suaminya telah memasang dapur baharu dan membayar sewa untuk restoran mereka tetapi terpaksa ditutup atas perintah kerajaan Belgium disebabkan oleh lonjakan kes COVID-19 di Eropah. – AP
Tukang masak di London semasa membuat bantahan selepas kerajaan mengenakan sekatan baharu yang termasuk memaksa mereka menutup perniagaan lebih awal. – AP

Pelanggan yang duduk di bilik kaca sambil menikmati hidangan di Belanda semasa jangkitan COVID-19 mereda di Eropah. Pandemik COVID-19 telah menjejaskan industri restoran di Eropah dan kini mereka terpaksa berdepan dengan sekatan baharu yang dikenakan oleh kerajaan. – AP

Kekecewaan Vanhasselt adalah disebabkan lonjakan wabak koronavirus yang kini menyebabkan perniagaan restoran di benua tersebut terjejas buat kali kedua, yang sebelum ini telah terkesan akibat perintah berkurung pada musim bunga lalu. Dari Utara Ireland hingga ke Belanda, kerajaan Eropah telah menutup kedai makan atau operasi mereka disekat dengan teruk.

Lebih dari sekadar pekerjaan atau pendapatan yang dipertaruhkan – restoran merupakan nadi terbesar Eropah. Dengan penutupan restoran akan mengancam kehidupan sosial dengan menutup kawasan di mana jiran-jiran, ahli keluarga berkumpul.

Restoran kekal menjadi ‘sebuah tempat yang sangat istimewa untuk membuat keraian,” kata Griet Grassin , dari sebuah restoran Itali, Tartufo di luar bandar Brussels. “Bukan sahaja mengenai makanan, ia mengenai kesejahteraan”.

Kali ini, penutupan restoran adalah sangat menyakitkan kerana mereka mungkin terpaksa ditutup sehingga musim Krismas, menjejaskan segala-galanya dari pejabat yang meraikan sambutan sebelum cuti hingga menyediakan hidangan istimewa pada musim perayaan.

Kesatuan Eropah berkata industri perhotelan dan restoran akan terjejas sehingga 79.3 peratus penurunan dari segi pengeluaran di antara bulan Februari dan April. Mereka cuba bangkit dari itu.

Musim panas, dengan penurunan kes COVID-19 dan perjalanan kembali dibenarkan, memberikan sedikit kelegaan terutama bagi resort kawasan pantai.

Tetapi apabila tiba musim luruh, benua tersebut sekali lagi terjejas dengan peningkatan kes koronavirus dan ramai yang dimasukkan ke hospital. Setakat ini, COVID-18 telah membunuh lebih 240,000 orang di seluruh Eropah.

Pemimpin kerajaan kini memberi amaran bahawa keadaan akan bertambah buruk sebelum pulih.

Tetapi kebanyakan pemilik restoran kini berdepan dengan sekatan baharu, dan sebilangan mereka kini mula mencabar kerajaan.

Di London bulan lalu, tukang masak terkemuka, Yotam Ottolenghi memukul periuk di jalan raya sebagai tanda protes terhadap sekatan yang termasuk memaksa mereka menutup perniagaan dengan lebih awal.

“Keadaan sangat sukar, kami mempunyai industri yang cukup hebat dan mempunyai keinginan yang tinggi,” kata Ottolenghi. “Dan ramai orang yang sangat bergantung padanya.”

Keadaan bertambah buruk di Perancis. Jalan-jalan di Paris, bandar kulinari, Lyon dan beberapa bandar di Perancis kelihatan kosong pada waktu malam semasa minggu pertama perintah berkurung pukul 9 malam yang dikenakan sehingga sekurang-kurangnya sebulan.

Xavier Denamur, pemilik kafe dan kedai makan Paris yang mempunyai kira-kira 70 orang pekerja, berkata kerajaan Perancis menghukum secara tidak adil kepada industri tersebut. – AP