Industri Malaysia perlu bersedia

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Industri 4.0 atau Revolusi Perindustrian Keempat, yang berlaku di peringkat global, boleh menjadikan ekonomi Malaysia berdepan kesukaran sekiranya industri tidak bersedia.

Malah, ekonomi baru muncul seperti Vietnam, Myanmar, Laos dan Kemboja boleh menyaingi dan mengalahkan Malaysia melalui revolusi industri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif KnowledgeCom Corporation Sdn Bhd S.T Rubaneswaran berkata kebanyakan industri Malaysia masih berada dalam Industri 2.0 yang berasaskan buruh dan perlu meningkatkan tahap untuk sampai ke 4.0.

Revolusi perindustrian pertama tertumpu pada penggunaan mesin berkuasa wap, kedua pada elektrik untuk mengubah barisan pemasangan dan ketiga berkisar kepada penggunaan teknologi maklumat (IT) untuk terus mengautomasikan lagi barisan pengeluaran. Revolusi perindustrian keempat pula akan menyaksikan Internet of Things (IoT) membaik pulih bukan sahaja perniagaan, tetapi hampir semua aspek kehidupan seharian.

Ia adalah trend semasa automasi dan pertukaran data dalam teknologi pembuatan yang mewujudkan “kilang pintar”, di mana mesin disambungkan dengan web dan kepada satu sistem yang boleh menggambarkan keseluruhan rantaian pengeluaran dan membuat keputusan dengan sendiri.

Rubaneswaran berkata Industri 4.0 akan berdasarkan kepada sembilan tonggak – robot automasi, simulasi, integrasi sistem, IoT, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, realiti diperkukuhkan, analisis data besar, serta integrasi sistem menegak dan melintang. Beliau berkata berdasarkan tinjauan PricewaterhouseCoopers’ terhadap 20,000 syarikat di 29 negara dari Asia, Eropah dan Amerika Syarikat, mendedahkan bahawa dalam tempoh lima tahun, syarikat-syarikat ini akan melabur hampir AS$1 trilion setahun untuk mengubah kepada Industri 4.0.

“Ini akan membantu meningkatkan perolehan mereka pada kadar tahunan sebanyak 4.3 peratus dan pengurangan kos sebanyak 3.4 peratus.

“Bagi industri pembuatan, bagi yang berjaya mengurangkan kos sebanyak 18 peratus dalam tempoh lima tahun, boleh menghapuskan persaingan dengan mudah kerana margin mereka terhad,” katanya. – Bernama