Industri minyak, gas terus relevan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Walaupun industri minyak dan gas di negara ini sudah berusia 90 tahun tetapi ia terus kekal kukuh dan relevan pada masa akan datang dengan sektor hiliran dan perkhid matannya terus berkembang.

Dalam sektor huluan, usaha sedang dijalankan untuk menghidupkan atau memperbaharui infrastruktur hidrokarbon negara dengan menerokai dan melaksanakan pembangunan laut dalam sehingga 2,000 meter yang akan membuka bab baharu dan menjana lebih banyak peluang dalam sektor tenaga negara. Pada masa sama, negara juga sedang menerajui program penyahtaraan dan pemulihan aset lama, jelas Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw ketika berucap pada perasmian Bengkel Applied Technology di Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.

Beliau menjelaskan Brunei berada dalam situasi yang unik dan amat mencabar di mana negara sedang melaksanakan kesemua fasa dalam kitaran penuh projek pembangunan hidrokarbon pada masa yang serentak iaitu daripada penerokaan, pembangunan, operasi, pemulihan aset, peningkatan pemulihan dan penyahtaraan serta pemulihan.

Dato Seri Paduka Haji Matsatejo menambah, dalam sektor hiliran, pembinaan loji gas asli cecair (LNG) berskala dunia dengan kapasiti enam juta tan setahun telah bermula pada 1969 dan selepas 50 tahun, Brunei LNG terus menjadi salah satu pembekal LNG yang boleh dipercayai di dunia.

Di samping itu, loji metanol dengan pengeluaran 0.8 juta tan setahun telah beroperasi sepenuhnya pada 2010 dan pada masa ini, loji ammonia dan urea sedang dibina di Sungai Liang dengan keupayaan mengeluarkan 1.2 juta tan ammonia atau urea setahun yang akan beroperasi pada 2021.

Dato Seri Paduka Haji Matsatejo ketika merasmikan Bengkel Applied Technology, kelmarin.
Antara yang menyertai bengkel tersebut.

Pada masa yang sama, pembinaan loji penapisan dan petrokimia di Pulau Muara Besar yang berupaya mengeluarkan 165,000 tong sehari telah siap dibina dan sedang dalam fasa pentauliahan serta akan beroperasi pada awal 2020.

Dato Seri Paduka Haji Matsatejo menyatakan lagi bahawa terdapat perancangan untuk meneruskan fasa kedua kompleks penapisan dan petrokimia Pulau Muara Besar yang akan meningkatkan keupayaan penapisan kepada 500,000 tong sehari di mana ia akan menjadikannya salah satu daripada kompleks terbesar di rantau ini.

Beliau mendedahkan pelaburan keseluruhan bagi projek-projek hiliran baharu iaitu metanol, urea dan PMB fasa 1 dan 2 dianggarkan berjumlah $20 bilion dan apabila siap sepenuhnya, ia akan memacu pembangunan industri hiliran negara. Menyentuh mengenai sektor perkhidmatan, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo berkata, dengan pelaburan yang besar dalam industri hulu dan hiliran, terdapat banyak peluang bagi syarikat-syarikat tempatan negara untuk membangunkan keupayaan mereka untuk bukan sahaja menawarkan perkhidmatan mereka kepada industri di Negara Brunei Darussalam tetapi juga serantau.

Perkara asas bagi semua usaha itu, jelasnya, adalah pembangunan modal insan di mana pada masa ini, terdapat seramai kira-kira 20,000 orang yang berkhidmat dalam sektor minyak dan gas. Dengan pertumbuhan dalam sektor huluan dan sektor perkhidmatan serta hiliran, semasa fasa operasi, akan memerlukan 15,000 orang lagi untuk berkhidmat dalam sektor berkenaan dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Dato Seri Paduka Haji Matsatejo turut menyatakan bahawa perkembangan dalam teknologi digital juga akan merubah cara menjalankan industri dan oleh itu, pendekatan baharu serta pembangunan modal insan yang lebih komprehensif diperlukan untuk menyokong lagi pertumbuhan industri minyak dan gas.

Dalam ucapannya lagi, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo menyeru semua pihak yang berkepentingan untuk merealisasikan potensi penuh sumbangan sektor tenaga kepada matlamat kepelbagaian ekonomi mampan.

Dalam konteks pembangunan modal insan, ulasnya, beliau menggalakkan warga muda Brunei di peringkat profesional dan juruteknik untuk tampil ke hadapan dan menyahut cabaran industri yang menarik itu khususnya dalam memanfaatkan inovasi dan teknologi digital untuk membina kelebihan kompetitif baru.

Pada masa yang sama, beliau juga menyeru syarikat-syarikat untuk memberikan keutamaan yang tertinggi kepada pembangunan warga tempatan.

Beliau juga mengalu-alukan organisasi latihan tempatan dan antarabangsa untuk menubuhkan kemudahan mereka di Negara Brunei Darussalam di mana beliau melihat ia sebagai bidang pertumbuhan yang berpotensi dan akan menyediakan latihan dan pembelajaran berterusan kepada seramai 20,000 orang tenaga kerja yang sedia ada dan 15,000 orang lagi pada masa akan datang. Pada masa yang sama, beliau percaya bahawa negara boleh memanfaatkan kelebihan yang ada untuk menyediakan perkhidmatan yang sama ke seluruh rantau dan dalam hubungan itu, Darussalam Enterprise (DARe) telah menyediakan tapak bagi pelabur untuk membangunkan kemudahan pembelajaran mereka.