Industri penerbangan berdepan kerugian AS$100B

SINGAPURA, 5 MAC – Syarikat-syarikat penerbangan boleh kerugian sehingga AS$113 bilion dalam pendapatan tahun ini akibat koronavirus, sama dengan kerosakan yang dialami industri tersebut semasa krisis kewangan, satu badan perniagaan memberi amaran hari ini.

Ramalan buruk itu berlaku ketika Flybe jatuh muflis akibat virus yang membunuh lebih 3,200 orang di seluruh dunia, memberi tamparan hebat kepada syarikat penerbangan Britain itu.

Dengan virus itu kini merebak pantas keluar China, permintaan bagi perjalanan udara merudum di seluruh dunia, mencetuskan masalah serius kepada banyak syarikat penerbangan yang sudah pun ditimpa masalah.

Dalam satu penilaian baharu terhadap impak itu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menganggarkan kerugian pendapatan kepada perniagaan syarikat penerbangan antara AS$63 bilion dan A$S113 bilion dalam 2020.

Ramalan kerugian lebih tinggi adalah bagi satu senario di mana virus itu menular lebih meluas bersamaan dengan impak terhadap industri itu semasa krisis kewangan global 2007-2008, kumpulan itu memberi amaran.

“Prospek industri di sebahagian besar dunia ini secara mendadak beralih kepada semakin memburuk,” kata ketua IATA, Alexandre de Juniac dan merayu kerajaan untuk memberikan sokongan.

“Syarikat penerbangan sedaya upaya terus bertahan,” katanya. Ketika kerajaan mengambil langkah untuk pakej rangsangan ekonomi, industri penerbangan akan memerlukan pertimbangan bagi pelepasan cukai, caj-caj dan peruntukan slot. Ini adalah masa-masa sukar,” tambahnya. – AFP

Gambar fail pesawat Emirates kelihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai pada April 2017. Gangguan besar akibat koronavirus akan mengakibatkan kerugian AS$100 bilion kepada industri penerbangan, menurut IATA. – AP