Industri penerbangan dijangka kerugian AS$84.3 bilion

KUALA LUMPUR, 10 JUN – Syarikat penerbangan dijangka mengalami kerugian sebanyak AS$84.3 bilion tahun ini dengan margin keuntungan bersih merosot kepada -20.1 peratus, manakala perolehannya akan turun kepada sebanyak AS$419 bilion, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Bagi tahun depan pula, IATA berkata kerugian dijangka turun kepada AS$15.8 bilion dengan perolehan meningkat kepada AS$598 bilion.

“Dari segi kewangan, tahun 2020 akan menjadi tahun terburuk dalam sejarah penerbangan. Secara purata, pada setiap hari tahun ini sebanyak AS$230 juta kerugian ditanggung industri tersebut. Secara keseluruhan, ia adalah kerugian AS$84.3 bilion.

“Ini bermakna berdasarkan anggaran 2.2 bilion penumpang tahun ini, syarikat penerbangan akan kehilangan AS$37.54 bagi setiap penumpang. Itulah sebabnya bantuan kewangan oleh kerajaan adalah sangat penting kerana syarikat penerbangan mengalami kerugian,” kata Ketua Pengarah dan ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac dalam satu kenyataan.

Semua rantau diunjurkan akan mencatat kerugian tahun ini, Asia Pasifik mencatat kerugian bersih tertinggi iaitu sebanyak AS$29 bilion. – Bernama