Industri penerbangan sahkan 2020 tahun terburuk

KUALA LUMPUR, 4 OGOS – Statistik industri penerbangan mengesahkan 2020 merupakan tahun terburuk yang pernah dicatatkan, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

IATA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata Statisktik Pengangkutan Udara Dunia IATA (WATS) bagi 2020 mendedahkan 1.8 bilion penumpang menggunakan perkhidmatan penerbangan pada 2020, penurunan 60.2 peratus berbanding 4.5 bilion pada 2019.

Angka itu menunjukkan kesan buruk daripada krisis COVID-19 ke atas pengangkutan udara global semasa tahun tersebut.

“Jumlah hasil penumpang industri turun sebanyak 69 peratus kepada AS$189 bilion (AS$1 bersamaan dengan RM4.23) pada 2020 dan kerugian bersih berjumlah AS$126.4 bilion.

“Permintaan perjalanan udara jatuh sebanyak 65.9 peratus tahun ke tahun, manakala permintaan penumpang udara antarabangsa dan domestik turun masing-masing sebanyak 75.6 peratus dan 48.8 peratus berbanding 2019,” katanya.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata 66 peratus daripada pesawat pengangkutan komersial dunia tersadai apabila kebanyakan kerajaan menutup sempadan mereka atau mengenakan kuarantin ketat ketika kemuncak krisis pada April 2020. 

“Berjuta-juta pekerjaan hilang dan kerugian industri bagi tahun itu berjumlah AS$126 bilion,” katanya.

Mengenai prestasi syarikat penerbangan pada 2020, angka WATS menunjukkan rantau Timur Tengah mencatatkan penurunan trafik penumpang terbesar apabila hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) turun 71.5 peratus berbanding 2019, diikuti rantau Eropah dan Afrika yasng masing-masing susut 69.7 peratus dan 68.5 peratus.

“China menjadi pasaran domestik terbesar pada 2020 buat pertama kalinya dalam sejarah, apabila perjalanan udaranya melantun semula dengan pantas di pasaran domestik mereka susulan usaha yang diambil untuk membendung COVID-19,” katanya. – Bernama

Gambar fail pada 6 Mei lalu menunjukkan sebuah pesawat Qantas yang berlepas dari lapangan terbang Antarabangsa Sydney. IATA mengesahkan 2020 merupakan tahun terburuk. – AFP