Industri seni dah ‘nyawa-nyawa ikan’

Penerbit, Fadzil Teh (gambar) berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat membantu warga penggiat industri seni kreatif yang kini diumpamakan ‘nyawa-nyawa ikan’ dengan membenarkan aktiviti penggambaran beroperasi semula.

Fadzil berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 1 akibat penularan COVID-19 membuatkan ramai penggiat seni dilihat semakin ‘nazak’ selepas hilang punca pendapatan.

Fadzil berkata, kebenaran penggambaran dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat dapat membantu memberi keceriaan kepada ramai pemain industri yang rata-rata kini berada dalam keadaan tertekan dan terjejas teruk kerana bergantung pendapatan berdasarkan ada kerja, ada gaji.

“Kelonggaran demi kelonggaran yang dibenarkan di negeri di bawah PPN Fasa 1 dilihat satu petanda baik. Saya percaya setiap kebenaran yang dimuktamadkan pasti melalui proses perbincangan yang rapi.

“Justeru saya berharap kerajaan turut dapat memberi ‘lampu hijau’ untuk aktiviti penggambaran di luar studio untuk beroperasi semula. Ini kerana ramai penggiat seni termasuk kru belakang tabir kini ‘menderita’ akibat tiada kerja dan duit.

“Sebagai penerbit sudah tentu saya sangat sedih mendengar segala keluhan yang terpaksa mereka lalui dalam situasi sukar ini. Jadi saya harap Perdana Menteri dapat membantu penggiat seni kembali menggerakkan ekonomi,” katanya. Menurut Fadzil, melihat kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang berjaya mencapai imuniti kelompok baru-baru ini, pihaknya percaya ramai penggiat seni juga sudah mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sekurang-kurangnya satu dos.

“Mahu atau tidak kita semua kena belajar untuk hidup bersama-sama dengan virus COVID-19 kerana wabak ini sukar untuk dihapuskan dalam waktu terdekat.

“Jadi saya berharap kerajaan dapat membenarkan aktiviti penggambaran beroperasi semula dengan SOP yang ketat seperti hanya membenarkan warga penggiat seni yang sudah mendapatkan dua dos vaksin saja dibenarkan bekerja,” katanya. – Agensi