Industri tanaman beri biru dibelenggu pelbagai cabaran

DEBLOIS – Dalam keterujaan ramai individu mengamalkan pemakanan sihat dan organik namun beri biru dari Maine kelihatan semakin kurang mendapat sambutan.

Sebelum ini hasil tuaian buah beri biru sememangnya menjadi antara hasil tanaman yang mendapat sambutan di wilayah New England.

Bagaimanapun kehadiran beberapa makanan pek yang mengandungi nutrisi tinggi seperti quinoa dan acai secara tidak langsung menjejaskan industri pemasaran buah tersebut.

Beri biru sangat digemari oleh kebanyakan blogger makanan sihat dan kedai makanan organik berikutan daripada faktor kandungan antioksidan yang tinggi di dalamnya.

Malah ia juga turut sebati dengan budaya di New England serta menjadi inspirasi kepada sebuah buku cerita kanak-kanak berjudul Blueberries for Sal yang diterbitkan pada tahun 1948.

Petani yang kelihatan berusaha untuk menuai hasil tanaman beri biru. – AP
Jumlah ladang pertanian bagi tanaman beri biru dikatakan bakal terus dikurangkan seiring dengan pelbagai cabaran yang dihadapi. – AP

Namun industri yang menguruskan dan menjual hasil tanaman ini berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti penurunan harga, kemarau, penyakit tanaman dan juga persaingan daripada petani negara asing.

Pengurus Ladang Blueberry Beech Hill di Rockport, Ian Stewart menjelaskan bahawa hasil tuaian buah beri biru yang diusahakan di ladang itu menurun sebanyak 50 peratus.

“Kami telah berhadapan dengan pelbagai cabaran ketika mengusahakan tanaman beri biru seperti musim kemarau yang berpanjangan dan adakalanya turut disertai dengan cuaca sejuk yang sangat teruk. Kami berharap agar masalah ini akan segera berjaya untuk diatasi,” jelas Stewart.

Industri tanaman beri biru liar di Amerika Utara hanya tertumpu di kawasan Maine dan Atlantic Canada, namun berikutan daripada jumlah bekalan yang berlebihan dari dua kawasan itu telah membuatkan harga buah itu terpaksa diturunkan.

Bukan itu sahaja, terdapat lagi cabaran lain yang berlaku pada beberapa tahun kebelakangan ini dengan mengatakan bahawa ia adalah berpunca daripada penyakit yang kerap dialami oleh buah beri itu, di samping kulat patogen dan sekali gus menyukarkan lagi usaha untuk membuka pasaran baharu.

Seperti namanya, buah beri biru tumbuh secara meliar di ladang yang cukup luas di sekitar kawasan luar bandar Maine.

Ia jelas cukup berbeza dengan beri biru yang ditanam dan diusahakan di beberapa negeri seperti di New Jersey kerana pengusaha di Maine kurang daripada memberi penjagaan yang penuh namun tetap berupaya untuk menikmati hasilnya.

Kegagalan dalam industri secara tidak langsung telah menghentikan operasi penanaman di Maine.

Petani hanya berjaya mengumpulkan kurang dari 68 juta paun beri biru pada tahun 2017 di mana jumlah itu dikatakan sebagai terendah sejak tahun 2005 dan ia juga dikatakan kurang daripada 33 paun daripada apa yang pernah dikumpulkan pada tahun 2016.

Malah harga jualan buah beri biru serendah 26 paun pada tahun lalu juga dikatakan sebagai harga terendah sejak tahun 1985.

Lebih teruk lagi apabila harga beri biru dikatakan lebih berada pada paras yang baik pada awal tahun 1970an berbanding pada era moden.

Walaupun jumlah beri biru yang dituai boleh dikatakan berlebihan namun ia terpaksa dijual pada kadar harga yang rendah berikutan daripada krisis kewangan dan permintaan yang berkurangan. – AP

“Hasil tuaian beri biru pada tahun ini berakhir pada hujung bulan Ogos lalu, di mana ia dikatakan adalah terlalu awal sekali gus membuatkan pihak industri percaya bahawa hasil tuaian yang diperolehi pada tahun ini dikatakan antara yang terendah. Walaupun jumlah yang tepat belum dapat diketahui namun ia jelas memperlihatkan bahawa hasil tanaman yang dikumpulkan pada tahun ini adalah hampir sama dengan apa yang diperolehi pada tahun lalu atau lebih rendah,” jelas Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Blueberry Wild Maine, Nancy McBrady.

“Industri pertanian juga telah menjelaskan bahawa manfaat kesihatan yang ada pada beri biru yang tumbuh meliar dikatakan lebih kaya dengan antioksidan,” jelas McBrady.

“Selama bertahun-tahun, mesej kesihatan yang disampaikan berhubung mengenai manfaat beri biru liar kepada orang awam telah berjaya dilaksanakan.

Bagaimanapun ia juga agak mengecewakan apabila bekalan yang diterima adalah pada tahap berlebihan dan turut wujud persaingan lain,” tambahnya.

Hampir seratus peratus daripada buah tersebut dijual dalam bentuk dibekukan atau diproses.

Dari situ, harganya di kedai runcit melalui penjualan produk dibekalkan oleh pihak pemproses dikatakan lebih tinggi berbanding daripada apa yang ditawarkan oleh pihak petani.

Buah beri ini juga kebanyakannya dituai di Quebec, New Brunswick, Nova Scotia, Newfoundland dan Pulau Prince Edward dan kadar mata wang Dolar Kanada yang semakin menurun juga menjejaskan keadaan apabila ia terpaksa ditawarkan pada harga yang lebih rendah.

Sesetengah syarikat turut beroperasi di dua kawasan sempadan dan kadar pertukaran yang sama juga dikatakan lebih baik untuk perniagaan.

“Kekangan pada aspek kewangan ini juga menjadi penyebab kepada pengurangan sebanyak 5,000 ekar tanah bagi mengusahakan tanaman itu di AS pada tahun lalu,” jelas Profesor Hortikultur di Universiti Maine, David Yarborough.

Faktor lain seperti proses pendebungaan yang teruk pada tahun lalu turut menjejaskan lagi pengeluaran hasilnya.

“Bagaimanapun, industri pertanian tanaman ini telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan berharap agar ia tidak terus berlarutan ke tahun-tahun mendatang,” jelas Naib Presiden Operasi Jasper Wyman & Son, Homer Woodward.

“Saya rasa hasil tuaian di Maine adalah jauh lebih rendah berbanding pada tahun lalu sekali gus terus melembapkan lagi kadar pertumbuhan ekonomi.

Di samping itu, keadaan alam sekitar juga kurang mendorong,” jelas Woodward. – AP