Industri teknologi dijangka perlahan

KUALA LUMPUR, 10 Jan – AllianceDBS Research menjangkakan pertumbuhan industri teknologi perlahan pada 2019, terutamanya pada separuh pertama tahun ini (1H19), diburukkan oleh pelarasan inventori bagi rangkaian pembekalan berikutan jualan iPhone di Malaysia yang mengecewakan.

Katanya, Statistik Perdagangan Semikonduktor Dunia yang terkini pada November menganggarkan pertumbuhan jualan semikonduktor global berkembang 15.9 peratus pada 2018, tetapi unjuran pertumbuhan 2019 diturunkan kepada 2.6 peratus daripada 5.2 peratus sebelumnya.

“Pelarasan itu adalah menyeluruh (bukan hanya bagi cip memori), menandakan kelemahan permintaan secara meluas di tengah-tengah kelembapan ekonomi global.

“Kami melihat pertumbuhan jualan semikonduktor pada 2019 akan menurun , kecuali perang perdagangan AS-China reda,” katanya. AllianceDBS berkata walaupun Apple melaksanakan pendekatan konservatif dalam penetapan harga bagi iPhone XS/Xr, jualan adalah kurang memberangsangkan, jatuh 20 peratus bagi tahun ke tahun pada suku keempat 2018 (4Q 18).

“Sama seperti tahun lepas, kami menjangkakan pembetulan inventori bagi iPhone akan sekali lagi berlaku 1Q19-2Q19, yang akan menyebabkan nilai perolehan komponen akan merosot sehingga 30-40 peratus,” katanya. – Bernama