Industri ternak ikan dalam sangkar berpotensi tingkat hasil Sabah

SEMPORNA, 19 OGOS – Sabah menumpukan usaha mengembangkan sektor perikanan termasuk penternakan ikan di dalam sangkar yang mempunyai potensi untuk terus diperluas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata ketika ini sektor perikanan menyumbang kira-kira RM2.8 bilion setahun kepada pendapatan negeri.

“Kita berhasrat untuk membekalkan ikan, bukan sahaja untuk pasaran tempatan termasuk Semenanjung, tetapi juga ke luar negara seperti Brunei, China dan Jepun,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran projek perintis ternakan ikan di dalam sangkar bagi negeri itu, di sini hari ini.

Menurutnya kerajaan Sabah pada masa ini memperuntukkan RM13 juta dalam belanjawan negeri untuk menjayakan projek penternakan ikan di dalam sangkar bagi belia luar bandar.

Antara bantuan yang diberikan ialah Lesen Pendudukan Sementara (TOL) untuk penternakan ikan dalam sangkar, benih ikan dan pukat selain mewujudkan pusat pengumpulan serta pemasaran ikan, katanya.

“Ketika ini 150 orang terlibat dalam projek ini di Semporna, Kunak dan Tuaran dan sasaran kita sehingga beberapa ribu orang pada tahun-tahun seterusnya,” katanya. – Bernama