Inflasi China meleset, perang tarif berterusan

BEIJING, 10 Jan – Kos penghasilan barangan kilang China merosot mendadak pada Disember dalam satu petanda permintaan masih lemah tatkala perang perniagaan AS berlarutan, sementara inflasi pengguna juga meleset, data rasmi menunjukkan hari ini.

Indeks harga pengeluar (PPI) – petunjuk penting sektor industri yang mengukur kos barangan pada harga asas – meningkat 0.9 peratus pada Disember, berbanding kenaikan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya.

Bacaan menandakan pertumbuhan paling rendah sejak September 2016, dan kekurangan ramalan dalam tinjauan Bloomberg News.

Satu kemerosotan dalam inflasi harga asas mencerminkan permintaan lembap, sementara satu peralihan kepada deflasi mungkin menjejaskan keuntungan korporat.

Ia mungkin memasuki julat negatif tidak lama lagi berdasarkan pertumbuhan negative yang telahpun dicatatnya, ramal ahli ekonomi Goldman Sachs.

Para penjaja dari tanah besar China menyusun barangan mereka di luar sebuah premis di Hong Kong kelmarin. Kos penghasilan barangan kilang China merosot mendadak pada Disember sementara inflasi pengguna juga meleset. – AFP

“Disinflasi ini telahpun digambarkan dalam data keuntungan industri, yang memasuki julat negatif,” tulis mereka dalam nota penyelidikan.

Indeks harga pengguna (CPI) meningkat 1.9 peratus, berbanding dengan 2.2 peratus pada November.

“Kedua-dua bacaan kurang berbanding ramalan pasaran,” kata ahli ekonomi Nomura Lu Ting.

“Inflasi yang berkurangan mendadak, terutamanya inflasi harga asas PPI, merupakan bukti lanjut yang menunjukkan ekonomi China sedang meleset pada kadar yang membimbangkan. Inflasi PPI yang meleset mencadangkan pendapatan korporat akan terus merosot pada bulan-bulan akan datang.”

Lu berkata, PPI dijangka menjadi negatif, yang akan memberikan tekanan seterusnya kepada pertumbuhan China.

Angka yang lemah keluar tatkala perang perniagaan China dengan AS mulai terasa dan pertumbuhan ekonomi menjadi perlahan, dengan data pada minggu lalu menunjukkan sektor pengeluaran mengecut pada Disember untuk kali pertama dalam lebih dua tahun. – AFP