Inflasi China meningkat didorong harga makanan

BEIJING, 10 OGOS – Menurut data rasmi hari ini, inflasi pengguna China pada Julai telah menunjukkan peningkatan, sebahagiannya didorong oleh kenaikan harga makanan yang berkaitan dengan bencana banjir dan ketika negara itu pulih daripada wabak koronavirus.

Pengukur penting inflasi peruncitan, Indeks Harga Pengguna (IHP), telah didorong tinggi sejak tahun lalu oleh harga ternakan, dengan wabak COVID-19 kemudian menjejaskan rangkaian bekalan.

Inflasi pengguna telah berkurang sejak Januari tetapi meningkat lagi dalam beberapa bulan kebelakangan, dengan IHP mencecah 2.7 peratus bulan lalu, menurut Biro Statistik Kebangsaan (NBS), lebih baik sedikit daripada yang diramalkan dalam tinjauan analisis Bloomberg News.

Ahli statistik kanan NBS, Dong Lijuan hari ini mengatakan harga makanan meningkat 13.2 peratus dari tahun lalu, mendorong CPI naik.

Harga sayur-sayuran juga meningkat, dijejaskan oleh ‘cuaca kurang baik’, menurut Dong.

Julian Evans-Pritchard dari Capital Economics berkata “banjir yang melanda seluruh China sejak lewat Jun kelihatan telah mengganggu rantaian bekalan dan pengeluaran di Lembangan Sungai Yangtze, yang menempatkan sekitar separuh pengeluaran pertanian China.”

Tetapi ketua ekonomi Nomura China, Lu Ting mengatakan kepada AFP dia menjangkakan IHP ‘akan melanjutkan aliran menurunnya dalam beberapa bulan mendatang’, dengan gangguan sementara beransur hilang. – AFP

Para pelanggan membeli sayur-sayuran di sebuah pasar di Shenyang, wilayah Liaoning, China pada 10 Ogos. – AFP