COLOMBO, 1 JULAI – Inflasi yang berlaku di Sri Lanka kini mencecah rekod sembilan kali berturut-turut pada Jun lalu, menurut maklumat rasmi yang dikeluarkan hari ini, peningkatan kepada 54.6 peratus sehari selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menggesa negara tersebut agar menangani peningkatan harga dan rasuah.
Kadar peningkatan tersebut adalah kali pertama berlaku pada Indeks Harga Pengguna Colombo (CCPI) yang mana telah melepasi garis aras 50 peratus, menurut jabatan banci dan statistik.
Angka tersebut terjadi beberapa jam selepas IMF menggesa Sri Lanka untuk menangani inflasi dan membanteras kegiatan rasuah sebagai sebahagian daripada usaha untuk memulihkan semula ekonomi, di mana ia juga turut terheret ke dalam krisis pertukaran mata asing.
IMF menamatkan perbincangan secara bersemuka yang berlangsung selama 10 hari dengan pihak berkuasa Sri Lanka di Colombo, kelmarin, berikutan dengan permintaan negara tersebut dalam usaha mencari jalan keluar daripada kemelut ekonomi.
Sementara itu, CCPI telah menetapkan kadar peningkatan tertinggi baharu sejak Oktober lalu, apabila inflasi dari tahun-ke-tahun hanya berada pada 7.6 peratus.
Pada Mei lalu, ia telah mencecah 39.1 peratus.
Mata wang rupee mengalami kemerosotan melebihi separuh pada nilainya jika dibandingkan dengan dolar AS pada tahun ini.
Pakar ekonomi swasta berkata harga pengguna meningkat lebih cepat berbanding yang dikeluarkan statistik rasmi.
Menurut pakar ekonomi di Universiti Johns Hopkins, Steve Hanke, mendapati inflasi terkini di Sri Lanka adalah sebanyak 128 peratus, jika dibandingkan dengan Zimbabwe yang menghadapi inflasi pada tahap 365 peratus. – AFP