Inflasi kilang China merosot

BEIJING, 9 Nov – Inflasi kilang China merosot pada Oktober disebabkan permintaan yang lembap dan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat, sementara inflasi harga pengguna tetap stabil, data rasmi menunjukkan hari ini.

Indeks harga pengeluar (PPI), petunjuk penting sektor perindustrian yang mengukur kos barangan pada harga asas, merosot kepada 3.3 peratus pada Oktober.

Ia mencatat pengecutan untuk bulan keempat berturut-turut, daripada 4.7 peratus pada Jun, sementara kekal sejajar dengan ramalan dalam tinjauan Bloomberg News.

“Inflasi pengeluar China sedang merosot tatkala aktiviti pengeluaran berkurangan sekali gus menjejas tekanan harga ke atas komoditi mentah, satu lagi masalah perang perdagangan AS-China,” kata Stephen Innes, ketua perdagangan Asia-Pasifik di OANDA, platform perdagangan tukaran asing.

“Kemerosotan dalam PPI memperkuatkan tekanan ekonomi yang semakin meningkat.”

Penganalisis meramalkan kenaikan harga tetap suram pada bulan-bulan akan datang sebelum Beijing mengurangkan kempennya untuk memerangi pencemaran pada musim sejuk.

“Kami menjangkakan kemerosotan dalam inflasi PPI akan diteruskan sehingga musim sejuk berdasarkan kempen anti-pencemaran yang kurang giat pada tahun ini berbanding tahun lalu,” kata Lu Ting, ahli ekonomi di bank Nomura.

Buah-buahan, sayur-sayuran dan minyak yang mahal sekali lagi menangguh kadar inflasi pada Oktober.

Indeks harga pengguna (CPI), pengukur utama inflasi runcit, meningkat 2.5 peratus, kata Biro Statistik Nasional. – AFP

Seorang penjual menunggu pelanggannya di sebuah pasar di Beijing. Inflasi kilang China merosot pada Oktober lalu disebabkan permintaan yang lembap dan perang perdagangan dengan AS. – AFP