Friday, December 2, 2022
30.8 C
Brunei

-

Inflasi makanan dedah kanak-kanak kepada obesiti

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga makanan atau inflasi makanan yang sedang dihadapi oleh mana-mana negara sekarang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pakar makanan, khususnya dari segi akses kepada pemakanan yang seimbang, sekali gus mendedahkan rakyat kepada ancaman kesihatan.

Melihat kumpulan B40 sebagai paling terkesan, peningkatan harga makanan mungkin mendorong keluarga berjimat cermat dan ‘mengorbankan’ kualiti dengan hanya memilih makanan yang boleh mengenyangkan termasuk dapat diperoleh dalam kuantiti yang banyak pada harga murah.

Situasi ini tidak boleh diambil mudah kerana menurut pakar, pemakanan yang tidak seimbang dalam jangka panjang boleh memberi risiko anak-anak mereka kepada penyakit orang dewasa termasuk obesiti dan diabetes.

Apatah lagi data menunjukkan kanak-kanak B40 kini turut mendepani masalah obesiti, suatu keadaan yang sebelum ini hanya dilihat lazim dalam kalangan anak-anak golongan berpendapatan tinggi di bandar.

Obesiti kalangan B40
Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, kanak-kanak keluarga B40 mempunyai prevalens obesiti yang tinggi iaitu 15.6 peratus dan berat badan berlebihan 15.4 peratus, berbanding kanak-kanak bandar yang mencatatkan 15.3 peratus dan 15.4 peratus masing-masing.

Prof Dr Ruzita Abd Talib berkata obesiti boleh terjadi disebabkan ketidakseimbangan pengambilan dan penggunaan tenaga turut dipengaruhi ketakjaminan makanan. – Bernama
Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin mengatakan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes merupakan penyumbang utama kepada kematian pramatang di Malaysia. – Bernama
Obesiti boleh terjadi apabila mengambil makanan tinggi lemak, tinggi gula dan makanan padat tenaga.
Sayur-sayuran dan buah-buahan bukan lagi menjadi keutamaan bagi keluarga B40 berikutan harganya yang mahal sekarang selain gangguan rantaian bekalan.

Mengulas mengenai masalah itu, pakar pemakanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Ruzita Abd Talib berkata obesiti lazimnya dikaitkan dengan individu berpendapatan tinggi dan menetap di bandar kerana terdedah kepada pengambilan makanan berkalori tinggi.

Namun begitu, keadaan telah berubah apabila mereka yang tinggal di bandar, luar bandar dan kumpulan B40 tidak terkecuali daripada keadaan itu.

“Kadar prevalens obesiti juga tinggi di negeri yang mempunyai tahap urbanisasi tertinggi seperti di Putrajaya disebabkan faktor jaminan bekalan dari segi kualiti dan kuantiti makanan termasuk juga faktor persekitaran,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata obesiti yang terjadi disebabkan ketidakseimbangan pengambilan dan penggunaan tenaga turut dipengaruhi ketakjaminan makanan apabila makanan tinggi lemak, tinggi gula dan makanan padat tenaga menjadi pilihan B40 kerana mudah didapati, murah dan cepat kenyang.

“Sudah tentu ibu bapa kanak-kanak B40, tidak kira bandar mahupun luar bandar, akan memikirkan kelangsungan hidup buat keluarga mereka berbanding kepentingan nutrisi. Sumber utama yang diberi perhatian adalah makanan karbohidrat seperti nasi dan sumber protein seperti ayam.

“Sayur-sayuran dan buah-buahan bukan lagi menjadi keutamaan bagi keluarga B40 berikutan harganya yang mahal sekarang selain gangguan rantaian bekalan,” kata pensyarah daripada Program Sains Pemakanan dan Pusat Kajian Kesihatan Komuniti (ReaCH), Fakulti Sains Kesihatan UKM itu.

Tambah beliau, isu kurangnya pengambilan sayur dan buah dalam kalangan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah turut dibuktikan menerusi kajian pada 2015 yang meninjau peringkat usia empat hingga enam tahun daripada kelompok berpendapatan rendah dan tinggi.

“Justeru, kerajaan perlu memberi lebih perhatian dalam usaha meningkatkan kualiti hidup golongan B40 yang bukan sahaja tinggal di kawasan luar bandar tetapi juga miskin bandar kerana tahap kemiskinan Malaysia ketika ini berada pada kadar 5.6 peratus yang dilihat membimbangkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata obesiti yang tidak dikawal boleh menyebabkan pelbagai penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, sekali gus menambahkan lagi beban kewangan bukan sahaja keluarga tetapi juga kerajaan.

Kos rawatan tinggi
Bebanan kos akibat penyakit NCD yang ditanggung kerajaan diakui oleh pensyarah di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Norsham Juliana Nordin yang memetik laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (2020) ‘The Impact of Noncommunicable Diseases And Their Risk Factors On Malaysia’s Gross Domestic Product’.

Menurutnya, laporan itu menyatakan kerajaan menanggung kerugian berjumlah RM12.88 bilion akibat tiga ka-tegori NCD yang dikaitkan dengan masalah obesiti, iaitu penyakit jantung, kencing manis (diabetes) dan kanser.

Kos itu merangkumi kerugian produktiviti akibat ketidakhadiran serta kematian pramatang dalam lingkungan umur yang masih produktif, jelasnya.

“NCD seperti diabetes merupakan penyumbang utama kepada kematian pramatang di Malaysia iaitu sebanyak 67 peratus serta menyumbang 70 peratus kepada beban penyakit pada 2014.

“Kajian lain pula melaporkan bahawa 73 peratus daripada kematian di hospital kerajaan adalah akibat penyakit yang berkaitan dengan obesiti.

“Bayangkan beban yang bakal ditanggung oleh negara pada masa hadapan sekiranya masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak Malaysia tidak dibendung segera,” katanya.

Justeru, usaha meningkatkan kesedaran pengambilan pola pemakanan seimbang perlu diterapkan sejak awal serta kempen mengenainya dipergiatkan lagi secara agresif dan berterusan bagi mengelak Malaysia digelar ‘Negara Paling Manis di Asia’.

Kaji selidik Institut Kesihatan Awam dan Kementerian Keshatan mendapati pengambilan gula dalam kalangan remaja Malaysia meningkat dari tujuh sudu kecil pada 2012 kepada 10 sudu kecil pada tahun 2017.

Jumlah tersebut melebihi had cadangan pengambilan gula harian bagi dewasa, dan kerana itu pelan strategik perlu diatur segera bagi membendung situasi tidak sihat ini, kata Dr Norsham Juliana. – Bernama

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

India sandang jawatan Presiden G20, Majlis Keselamatan PBB

NEW DELHI, 1 DIS – India menyandang jawatan presiden G20 dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mulai hari ini, lapor Sputnik. G20 ialah forum antara kerajaan...
- Advertisment -