Pernah mengendali program Viral, bekas pengacara Hazeman Huzir atau dikenali sebagai Haze menganggap pencipta kandungan yang mencetuskan kontroversi merupakan golongan pemalas.
Haze atau nama sebenarnya Mohamed Hazeman Huzir berkata banyak lagi cara untuk membuatkan sesuatu isu itu tular tanpa mengundang kecaman daripada warganet di laman sosial.
Biarpun sudah berulang kali memberi nasihat, namun bekas pengacara program Motif Viral itu berkata sukar untuk mengubah pemikiran golongan tersebut.
“Pada saya, content creator yang suka buat tular untuk dapatkan sensasi adalah golongan pemalas. Sebab mereka malas nak berfikir.
“Sebenarnya boleh sahaja keluarkan sikit sel otak untuk fikir sikit sahaja. Sebab nanti akan tahu macam mana menularkan sesuatu isu tanpa dikecam.
“Benda boleh dibuat, sebab saya pun pernah buat banyak kali. Jadi, jangan malas sangat. Saya boleh kata jangan, tapi susah nak ubah pemikiran orang,” katanya kepada mStar.
Haze yang juga seorang influencer dan YouTuber ditemui ketika sidang media Misi Kemanusiaan Afrika di Red Card Cafe, Bandar Baru Bangi, baru-baru ini.
Tujuh orang ikon popular termasuk Haze bakal terbang ke Tanzania, Afrika Timur bermula 6 hingga 19 Julai bagi menyertai misi kemanusiaan anjuran Pertubuhan Impak Prihatin Malaysia atau Impactive Malaysia (IM).
Misi kemanusiaan yang memberikan fokus kepada pembangunan pendidikan dan ekonomi itu merupakan kunjungan kedua IM ke Afrika selepas lima tahun.
Selain Haze, enam selebriti yang akan turut serta terdiri daripada barisan personaliti TV, usahawan dan bintang sosial media iaitu Nadzmi Adhwa, Farah Lee, Akhi Fairuz, Que Yahaya, Nazirul dan Aiman Hakim dari Isosynergy Holdings Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Haze memberitahu banyak perbezaan kandungan viral dahulu dan kini selepas program yang pernah dikendalikannya itu sudah tiada.
Menurut Haze, kandungan viral yang melampau disebabkan permintaan warganet yang gemar memberi pandangan tanpa diminta. – Agensi