Infrastruktur fizikal, digital lengkapkan hab perubatan utara Sarawak

MIRI, 27 OKT – Kerajaan negeri Sarawak akan terus meningkatkan infrastruktur fizikal dan digital bagi melengkapi rancangan untuk menjadikan Hospital Miri sebagai hab perubatan untuk wilayah utara negeri ini, kata Ketua Menterinya Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata mengenai pembangunan infrastruktur fizikal, rangkaian jalan raya di wilayah itu akan ditingkatkan yang akan menghubungkan tempat-tempat yang lebih kecil seperti di Marudi, Baram dan Bekenu dengan hab itu.

“Oleh kerana Hospital (Miri) dikenal pasti untuk menjadi hab hospital bagi wilayah utara, jalan-jalan raya akan menjadi penghubung dan kami merancang untuk menghubungkan kawasan pedalaman hingga ke Mulu (taman negara Warisan Dunia UNESCO) pada Rancangan Malaysia ke-12,” katanya di sini hari ini.

Bercakap pada majlis pecah tanah untuk projek bangunan tambahan Hospital Miri, Abang Johari berkata sebuah jalan raya baharu juga akan disiapkan menjelang 2025 untuk menghubungkan dua daerah utara Sarawak iaitu Limbang dan Lawas, yang akan memendekkan masa perjalanan ke bandar di sini.

“Dengan tempoh masa perjalanan yang lebih pendek, (jalan raya baharu) ini semestinya akan membantu tugas membawa pesakit dari dua daerah berkenaan ke Hospital Miri,” katanya.

Abang Johari berkata perkhidmatan perubatan Sarawak juga akan mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur digital yang kini dilaksanakan kerajaan Sarawak dengan peruntukan RM1 bilion. – Bernama