Infrastruktur: Hubungan Filipina-China terus kukuh

MANILA, 16 Mei – Ketua kewangan Filipina hari ini menyambut baik bantuan pembangunan yang diberikan kepada negara itu khususnya kepada program pemodenan infrastruktur yang sedang berjalan.

“China telah menjadi rakan yang rapat dan boleh dipercayai ketika ini dalam ekonomi kita dan kami berterima kasih,” kata Setiausaha Kewangan Filipina, Carlos Dominguez dalam satu kenyataan.

Dominguez berkata melalui gabungan pinjaman dan geran, China telah membantu Filipina melancarkan program infrastruktur kerajaan ‘Build, Build, Build’.

Program ‘Build, Build, Build’ yang diperkenalkan itu adalah bagi menangani kekurangan dalam hal ehwal infrastruktur negara dan akan menjadi peneraju pembangunan kepada ‘Golden Age of Infrastructure’ di Filipina, menurut kerajaan Filipina.

Pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte berhasrat memperuntukkan 8 hingga 9 trilion peso (AS$160 hingga AS$180 bilion) dalam jangka masa sederhana. Sebagai sebahagian daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kerajaan menganggarkan perbelanjaan infrastruktur meningkat daripada 5.4 peratus daripada KDNK pada 2017 kepada setinggi 7.3 peratus daripada KDNK pada 2022.

Gambar fail bertarikh 9 September 2017 menunjukkan Carlos Dominguez ketika mengadakan pertemuan bersama Menteri Perdagangan Zhong Shan (kiri) di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan mesyuarat yang berkaitan di Pasay City, Filipina. – Xinhua

Setakat ini, Dominguez berkata, “Keadaan sedang berjalan seperti yang kami jangkakan,” sambil menambah 75 infrastruktur strategik besar yang membentuk Program ‘Build, Build, Build’ sedang berjalan mengikut seperti yang dirancang.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada institusi pelbagai hala seperti Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia, yang telah membantu membiayai projek infrastruktur yang bertujuan untuk membuka koridor pertumbuhan baharu di kawasan yang kurang maju di Visayas di Filipina dan Mindanao tengah di selatan Filipina.

“Hubungan ekonomi yang lebih baik adalah semakin kompetitif, ini sebabnya pentadbiran Duterte telah membuat Program ‘Build, Build, Build’, yang menjadi pusatnya,” kata Dominguez. – Xinhua