Ingati kelahiran anak pengasas Bangladesh

Oleh Hakim Hayat

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Brunei Darussalam, hari ini, memperingati Ulang Tahun Kelahiran ke-72 Shaheed Capt Sheikh Kamal, anak lelaki sulung pengasas Bangladesh, Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman.

Pada majlis yang berlangsung di suruhanjaya berkenaan, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona memberikan penghormatan kepada Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman dan mengalu-alukan semua jemputan termasuk ahli-ahli kor diplomatik, belia dan pegawai-pegawai kerajaan Brunei serta komuniti Bangladesh.

Majlis menyaksikan jemputan bertafakur selama seminit sebelum diisikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan doa khas bagi Bangabandhu Sheikh Mujibur Rahman, Bangamata Fazilatun Nessa Mujib, Shaheed Capt Sheikh Kamal dan wira Bangladesh lain.

PYT Nahida Rahman Shumona turut membacakan biografi ringkas mengenai Shaheed Capt Shiekh Kamal yang meninggal dunia pada 15 Ogos 1975 dan menerusi pembentangan powerpoint, jelas menunjukkan fasa dan sudut berbeza kehidupan beliau serta mengenai semua kualiti dan pencapaiannya yang luar biasa dalam tempoh jangka hayatnya yang sangat pendek.

Puan Yang Terutama menggambarkan Shaheed Capt Sheikh Kamal sebagai seorang lelaki yang mempunyai bakat, bukan sahaja dalam sukan seperti kriket, bola sepak, bola keranjang dan sebagainya, malah dalam bidang muzik, lakonan, debat, ucapan secara spontan dan banyak lagi.

Dokumentari mengenai Shaheed Capt Sheikh Kamal juga ditayangkan pada majlis itu yang diikuti dengan tayangan klip video khas daripada Dr Sajjadur Rahman, rakan Shaheed Capt Sheikh Kamal yang kini menetap di Kanada dan mengajar di sebuah universiti di sana.

PYT Nahida Rahman Shumona semasa berucap pada majlis berkenaan.
PYT Nahida Rahman Shumona dan para jemputan bertakafur seminit pada majlis itu.