Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Ingin cuba kopi bercampur minyak zaitun?

    MILAN – Mencampurkan minyak zaitun dalam kopi bukanlah satu tradisi di Itali, tetapi itu tidak menghalang Ketua Pegawai Eksekutif sementara Starbucks, Howard Schultz untuk melancarkan beberapa siri minuman yang menggunakan minyak zaitun di Milan, bandar yang mencetuskan inspirasi empayar kedai kopi beliau.

    Campuran kopiminyak zaitun meniru trend yang diinspirasikan keto untuk menambah mentega ke dalam kopi, hanya dengan kelainan sentuhan manis telah membangkitkan rasa ingin tahu dalam kalangan orang Itali.

    Gambero Rosso, sebuah majalah makanan dan minuman keras Itali, menganggap campuran minyak zaitun dengan kopi sebagai ‘gabungan yang menarik’ tetapi menyatakan mereka belum membuat penilaian kerana belum mencuba minuman tersebut.

    Namun majalah tersebut memuji keputusan untuk memasukkan bahan asas di dapur Itali itu sebagai ramuan utama dalam minuman tersebut, bukan hanya sebagai perasa. Majalah itu juga mencatat manfaat kesihatan menggunakan minyak zaitun extra virgin, di mana beberapa warga Itali mengambilnya secara rutin terus dari botol.

    “Adakah kita memerlukan kopi dengan minyak zaitun extra virgin dan sirap? Mungkin ya, mungkin tidak,” tulis Michela Becchi dari majalah tersebut. Tetapi peluang untuk mempromosi keenakan kopi Itali adalah satu nilai yang berharga,” tambahnya.

    Papan tanda Starbucks mengiklankan kopi Oleato di salah sebuah kedai kopi di Milan, Itali. – AP
    Kaya Cupial mencuba kopi Oleato Iced Cortado di kedai kopi Starbucks di Milan, Itali. – AP
    Menu Oleatro di kedai kopi Starbucks di Milan. – AP

    Pertubuhan pengeluar minyak zaitun Itali, ASSITOL, menyambut baik ‘inovasi yang berani’ itu dan berkata rangkaian minuman berkenaan boleh ‘melancarkan semula imej minyak zaitun, terutamanya dalam kalangan golongan muda.’ Pertubuhan itu telah mempromosi penambahan minyak zaitun dalam koktel.

    Martina Lunardi, seorang pelajar dalam bidang perantara budaya, tetap memilih kapucino biasa semasa mengunjungi Starbucks baru-baru ini tetapi dia berkata dia tidak tersinggung dengan kombinasi minyak zaitun dan mungkin akan mencubanya pada suatu hari nanti.

    “Bagaimanapun, saya tahu di mana untuk mendapatkan secawan kopi biasa,” kata Lunardi
    Schultz mengemukakan idea menambahkan minyak zaitun ke dalam kopi setelah melawat seorang pengeluar minyak zaitun di Sicily dan menganggap idea tersebut sebagai perubahan yang mempengaruhi keuntungan syarikat baru-baru ini. Rangkaian kedai kopi antarabangsa itu berkata beliau sedang bekerjasama dengan pemaju minuman kopi dalaman untuk menghasilkan resipi.

    Schultz mempengerusikan pelancaran ‘Oleato’ – bermaksud ‘minyak’ dalam bahasa Itali pada minggu lepas sehari sebelum Minggu Fesyen Milan, dengan persembahan Lizzo untuk jemputan khas di syarikat Milan Roastery. Minuman itu akan diperkenalkan di selatan California pada musim bunga ini dan di Jepun, Timur Tengah dan Britain pada hujung tahun.

    Akhbar La Stampa di Turin mencuba empat minuman tersebut dan memberikannya nilai antara 6.5 hingga 7.5 pada skala 10. Akhbar tersebut berkata satu-satunya minuman panas di dalam menu, versi caffe latte, ‘memiliki rasa yang kuat dan meninggalkan rasa yang enak di dalam mulut dan memberikan nilai 7.’

    “Perasaan yang positif adalah Oleato mungkin minuman untuk diminum sepanjang tahun, tetapi yang paling penting adalah ia mungkin benar-benar sedap pada musim panas,” kata La Stampa kerana kebanyakan minuman disajikan dengan ais.

    Pelancong yang mengunjungi Milan Roastery tertarik untuk mencuba minuman ini melalui papan tanda di depan kedai dan menu khas yang mengiklankan kelima-lima minuman, dengan harga di antara 5.50 euro hingga 14 euro (AS$5.85 hingga AS$14.85) untuk versi dicampur minuman keras.

    “Rasanya sedap,” kata Benedicte Hagen, seorang warga Norway yang baru-baru ini berpindah ke Milan untuk mengejar kerjaya model. “Saya bukan peminat kopi yang tegar, itulah sebabnya saya suka mencuba minuman seperti ini.”

    Dia sedang menghirup Oleato Golden Foam Cold Brew, yang termasuk sirap bijan vanila, dan mengatakan bahawa dia benar-benar tidak dapat merasakan minyaknya. Namun, dia mengakui meminta barista untuk menambahkan sedikit coklat untuk membuat minuman itu lebih manis dan akan menambahkan karamel jika ditawarkan.

    “Ia bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan,” kata Hagen dengan yakin.

    Sementara itu, Oleato Iced Cortado milik Kaya Cupial disajikan dalam gelas berbentuk V yang cantik dan dihias dengan kulit limau. Minuman ini dibuat daripada susu oat yang dicampurkan dengan minyak zaitun, sirap demerara dan sedikit campuran jeruk pahit limau.

    “Rasanya seperti kopi biasa, tetapi dengan limau. Tidak terlalu kuat,” ujar seorang wanita 26 tahun dari Warsaw, Poland, yang sedang melancong bersama kawannya. Mereka juga memesan Golden Foam Cold Brew bersama dengan kapucino biasa.”

    Ini bukan kali pertama Itali memberi inspirasi kepada Schultz.

    Schultz mengakui bahawa beliau terhutang budi kepada bar kopi Milan yang ditemuinya semasa lawatan ke Itali pada tahun 1983 sebagai inspirasinya untuk membina rangkaian kopi global sekarang.

    Schultz menunggu hingga tahun 2018 untuk membawa Starbucks ke Itali, menyedari dia sedang mencuba nasib kopi terkenal di negara itu. Penduduk Itali biasanya minum kopi mereka sambil berdiri di sebuah bar, berbincang-bincang dengan teman atau barista selama beberapa minit, sebelum meneruskan kerja yang perlu dilakukan oleh mereka pada hari itu. Ini bukan sesuatu yang mengejutkan.

    Sejak itu, Starbucks telah membuka kira-kira 20 kedai di utara dan tengah Itali. Roastery Milan sering kali dipenuhi pengunjung, sementara lokasi lain di bandar itu telah berubah akibat pandemik. – AP

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...