SELEPAS beberapa tahun dikenali dengan nama pentas sebagai Arja Lee, pelakon berusia 35 ini akhirnya mahu membuka buku baharu dengan menggunakan nama sebenar Azharudin Ramli.
Malah, dia juga dilihat mula melakukan perubahan fizikal dari segi penampilan diri dan laman sosial seperti membotakkan kepala serta memuat naik lebih 300 foto latar putih di laman Instagram sejak seminggu lalu.
“Bagi saya ringkas saja, setiap orang ada hari dia akan berada dalam ‘bad mood’, gembira, teruja, sedih dan sebagainya. Apa yang saya buat tiada kena-mengena dengan sesiapa.
“Saya hanya mahu buka buku baharu dan lupakan perkara yang pernah saya fikirkan sebelum ini. Bagi saya, industri sekarang sudah macam-macam,” katanya.
Dia menafikan tindakan dilakukannya itu berkaitan dengan masalah tekanan perasaan atau sakit jiwa lantas melampiaskan ke laman sosial.

Katanya, laman sosialnya adalah hak peribadi. Biarpun tidak lagi memuat naik foto di laman utama, dia masih aktif berkongsi video dan foto di ruangan ‘IG Story’.
Arja turut mendedahkan mengambil keputusan untuk menyambung pengajian peringkat sarjana dalam bidang teater pengkhususan pengajian mengenai muzikal di Malaysia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak tiga bulan lalu.
Dia akui tidak mahu lagi hanyut dengan perkara yang pernah dibuatnya sebelum ini termasuk memuat naik foto yang boleh mengundang kontroversi seperti tidak berbaju atau berseluar dalam.
Baginya, disebabkan mengambil keputusan menyambung pengajian membuatkan dia tidak perlukan apa-apa lagi baik mengejar populariti atau publisiti.
“Kalau saya jadi Arja Lee, saya boleh jadi pelbagai, tapi kalau saya kekalkan nama asal, saya berada dalam kotak sendiri. Perkongsian latar putih di Instagram saya kini adalah lambang suci dan itulah yang saya cuba sampaikan.
“Saya pun kadangkala hanya mahu berada dalam dunia sendiri, tidak lagi cakap soal tiada tawaran berlakon dan menyanyi. Sebenarnya tawaran masih ada cuma tidak seaktif dulu,” katanya. – Agensi