Ingin menikmati hidup solo sepuasnya

Biarpun sudah ada yang bertakhta dalam hati, namun, buat masa ini, Azrel Ismail mahu menikmati hidup solo sepuas-puasnya. Diajukan soalan bila mahu menamatkan zaman bujang, Azrel, 35, mengaku tidak mahu terburu-buru berumah tangga biarpun ramai teman seusia sudah berkeluarga.

“Saya sudah ada calon (untuk dijadikan isteri), namun belum ada perancangan ke arah itu. Saya mahu nikmati hidup sendirian sepuas-puasnya. Benar, ada yang beritahu, sekarang usia yang sesuai untuk saya berkahwin. Memang saya tidak nafikan perkara itu. Melihat teman artis melangsungkan pernikahan, hati terusik. Namun, ini bukan suatu tekanan buat saya,” katanya kepada media.

Tambah pelakon drama Puteri Yang Ditukar itu, soal perkahwinan bukan boleh dipandang ringan. “Nikah bukan boleh dibuat serta-merta… Kena dirancang betul-betul. Selepas berkahwin, kehidupan pasti berubah,” katanya.

Azrel yang dihujani tawaran berlakon ini akur belum ada rezeki mendapat slot drama yang meninggalkan impak dan diperkatakan ramai. “Contohnya, Ben Amir yang ‘meletup’ berganding dengan Mira Filzah dalam drama Sweet Dreams. Saya juga menanti peluang sama untuk tampil dalam slot terbabit,” katanya.

Namun, Azrel bersyukur rezekinya tidak pernah putus biarpun terlepas peluang berlakon teater. “Sebelum ini, saya ditawarkan berlakon teater Pawana Isabella dengan Erma Fatima. Tetapi ketika itu, saya terikat dengan penggambaran drama Puteri Yang Ditukar. Saya anggap belum rezeki berlakon teater,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azrel menimbang kemungkinan menceburi bidang pernia-gaan. “Mungkin membabitkan dandanan rambut. Saya gemar menggayakan rambut. Jadi, mungkin perniagaan produk rambut atau kedai gunting rambut,” katanya. – Agensi

Azrel yang dihujani tawaran berlakon ini akur belum ada rezeki mendapat slot drama yang meninggalkan impak dan diperkatakan ramai. – Agensi