Ingles ragu NBA disambung semula

WASHINGTON, 26 APRIL – Pemain Utah Jazz, Joe Ingles, pemain Australia yang bermain dalam musim keenam NBA, berkata dia merasa ragu kempen 2019-2020 yang terhenti akan disambung semula dengan setiap minggu yang berlalu.

Dalam persidangan telefon dengan media Utah yang dilaporkan oleh Salt Lake Tribune, pemain perancang berusia 32 tahun dari Adelaide itu berkata adalah sukar untuk meninggalkan isterinya Renae dan anak kembarnya berusia tiga tahun, Milla dan Jacob dalam rancangan pengasingan untuk menghabiskan kempen.

Ingles bulan lalu berada di bandar Oklahoma apabila rakan sepasukan dari Perancis, Rudy Gobert diuji positif dijangkiti koronavirus, mendorong NBA menggantung musim.

“Saya andaikan kami akan berada di dalam kuarantin selama dua minggu dan kemudian kami akan kembali,” kata Ingles. “Itu berlaku sebelumnya dan saya mungkin tidak mengetahui perkara yang sedang berlaku sekarang.

“Tetapi sejujurnya, pendapat saya ialah setiap minggu yang kita lalui, ia terasa seperti semakin nipis peluang untuk kembali.”

Mengasingkan pemain-pemain dalam satu tempat untuk bermain dua bulan selepas musim tamat tidak dipersetujui oleh Ingles.

“Ia akan menjadi semakin sukar,” kata Ingles. “Ia adalah tempoh paling panjang saya berjauhan dengan anak-anak saya – yang mana saya tidak tahu sejauh mana saya sanggup melakukannya, meskipun saya amat menyukai bola keranjang.”

Dua hari selepas isterinya, bekas pemain bola jaring profesional, melahirkan anak kembar, Ingles meninggalkan isterinya untuk berkunjung bersama skuad Australia untuk Sukan Olimpik Rio 2016.

“Pada masa itu, sesukar mana pun, ia lebih mudah kerana mereka hanya makan dan keletihan dari latihan, itu sahaja,” katanya. “Sekarang mereka mempunyai personaliti, mereka tahu bila saya akan pergi, mereka memberitahu saya mereka akan merindui saya, perkara seperti itu. Itu membuatkan lebih sukar untuk meninggalkan mereka.” – AFP

Joe Ingles berasa ragu dengan setiap minggu yang berlalu, kempen yang terhenti akan disambung semula dan merasa sukar untuk berjauhan dengan keluarganya jika pemain terpaksa diasingkan untuk menamatkan kempen dalam satu tempat. – AFP