PARIS, 7 Mac – Ole Gunnar Solskjaer memuji semangat tidak pernah padam bintang Manchester United apabila mereka mara ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan kemenangan bersejarah 3-1 ke atas Paris Saint-Germain awal pagi tadi.
United menjadi pasukan pertama dalam sejarah Piala Eropah untuk bangkit daripada kekalahan 2-0 di laman sendiri dalam aksi pertama peringkat kalah mati.
Romelu Lukaku menemui sasaran sebanyak dua kali di antara gol penyamaan Juan Bernat sebelum Marcus Rashford menyudahkan sepakan penalti kontroversi yang diberikan VAR di masa kecederaan untuk memberikan United kemenangan menerusi jaringan di laman lawan.
Ia adalah keputusan yang luar biasa memandangkan United tanpa Paul Pogba serta sembilan lagi pemain lain yang cedera termasuk Anthony Martial, Jesse Lingard dan Ander Herrera.
Tetapi pengurus sementara United, Solskjaer menegaskan bahawa dia tidak pernah meragui keupayaan pemain-pemainnya untuk melakukan sesuatu yang tidak disangka-sangka dalam aksi kedua pusingan 16 di Paris.
“Kepercayaan kepada pemain-pemain ini adalah yang kami harapkan. Ia adalah luar biasa,” kata Solskjaer kepada BT Sport.
“Anda sentiasa tahu ia tidak mustahil. Di kelab ini, inilah yang kami lakukan, ini adalah Man United, Liga Juara-Juara. Ia adalah mengenai semua ini.” – AFP


































