Ini bukan latihan – WHO

BEIJING, 6 MAC – Para pegawai kesihatan dunia memberi amaran bahawa sebilangan negara tidak cukup serius menangani wabak COVID-19, ketika krisis itu sudah melanda Eropah dan Amerika Syarikat (AS) di mana petugas perubatan menyuarakan mengenai kekurangan persediaan hospital yang membimbangkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memaklumkan, terdapat ‘senarai panjang’ negara tidak menunjukkan ‘tahap komitmen politik’ yang diperlukan dan sepadan dengan tahap ancaman sedang dihadapi.

Epidemik itu telah mencetuskan kemusnahan terhadap perniagaan, pelancongan, acara-acara sukan dan sekolah dengan hampir 300 juta pelajar tidak bersekolah di seluruh dunia.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, memberitahu wartawan, menyeru bagi kesiapsiagaan agresif’.

“Ini bukan satu latihan. Bukan waktunya untuk menyerah kalah dan bukan masanya untuk memberi pelbagai alasan,” katanya kepada pemberita.

Di Amerika Syarikat, kesatuan jururawat yang terbesar memaklumkan bahawa satu kajian membabitkan ribuan jururawat di hospital, menunjukkan hasil yang ‘benar-benar membimbangkan’.

“Ia menunjukkan bahawa peratusan besar hospital di negara ini tidak bersedia untuk menangani COVID-19 dengan selamat,” kata seorang pakar kebersihan daripada kesatuan itu, Jane Thomason.

Pengarah Jururawat Kebangsaan Bersatu, Bonnie Castillo, pula berkata jururawat bekerja tanpa peralatan perlindungan diri yang diperlukan, selain kekurangan pendidikan dan latihan untuk menangani penyakit berkenaan.

Pasaran global terus merudum akibat epidemik itu, manakala sesetengah negara mengambil langkah lebih drastik bagi mencegah penularan virus berkenaan yang sudah meragut lebih 3,300 nyawa serta menjangkiti hampir 100,000 orang di kira-kira 85 negara.

Sementara itu, Kongres AS telah meluluskan rang belanjawan kecemasan berjumlah AS$8.3 bilion untuk menangani koronavirus kelmarin ketika kes itu bertambah di barat laut negara itu dengan kematian mencecah 12 orang. – AFP