KAZAN, 20 Jun – Legenda pemain tengah Sepanyol, Andres Iniesta berikrar Sepanyol akan memadam keputusan perlawanan pembukaan Piala Dunia di Rusia dengan menewaskan Iran awal pagi esok, sekali gus mencerahkan peluang menjulang gelaran.
Iniesta, yang menjaringkan gol buat Sepanyol pada masa tambahan bagi memastikan kejayaan skuad itu menewaskan Belanda di Afrika Selatan pada 2010, tampil pada Piala Dunia yang terakhir buat dirinya selepas mengakhiri kerjaya panjangnya bersama Barcelona sebelum menyertai pasukan Jepun, Vissel Kobe.
Sepanyol seri 3-3 ketika menentang Portugal dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B dengan skuad Fernando Hierro itu kini terdesak untuk menewaskan Iran bagi menjamin peluang ke peringkat 16 pasukan terakhir sebelum perlawanan peringkat kumpulan terakhir menentang Maghribi.
Meskipun enggan mengambil mudah cabaran skuad gergasi Asia bimbingan Carlos Queiroz itu, Iniesta, 34, mahu menjulang trofi Piala Dunia buat kali kedua selepas berjaya menjulang trofi Kejohanan Eropah sebanyak dua kali bersama Sepanyol pada 2008 dan 2012.
“Pemain sering mahu memenangi trofi terbesar dan ia bukanlah rahsia yang kami mahu memenangi Piala Dunia,” kata Iniesta.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2018/06/spain-pic_210618.jpg)
“Ia bukanlah mudah. Kami perlu bekerja dengan keras, namun kami mempunyai impian yang perlukan kami semua beri tumpuan terhadapnya.”
Dengan Iran menduduki kedudukan teratas Kumpulan B selepas kemenangan 1-0 kepada Maghribi, Sepanyol tidak boleh membiarkan mereka terus ketinggalan.
“Esok adalah seperti final, jika kami menang ia akan memberi kami kelebihan dalam kumpulan dan kemudian kami akan lihat peluang ke peringkat seterusnya.
Dia menambah, “Ia akan menjadi perlawanan sukar tetapi anda perlu ingat kami adalah pasukan yang sudah lama bersama. Kami mempercayai satu sama lain.”
Di atas kertas, Sepanyol berada di ranking ke-10 dunia, seharusnya tidak mempunyai masalah mengatasi skuad Iran yang berada 27 anak tangga di bawah mereka. – AFP