Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – QAF Auto, pengedar tunggal BMW dan MINI telah memulakan inisiatif baharu bersama Kolej Perdagangan Laksamana dengan melancarkan Pusat Inkubasi Usahawan (EIC).
Pusat inkubasi itu telah menghasilkan ‘incubatee’ pertama Dayang Nadeharah Hazwannee binti Amir dan Dayang Noor Haziqah Aimuni binti Harethfardelah yang telah menubuhkan sebuah syarikat Korudein yang mengkhusus kepada penyelesaian dan perkhidmatan pintar perniagaan.
Projek pertama mereka adalah untuk membangunkan laman web untuk kereta terpakai QAF Auto yang dijangka akan mula beroperasi pada hujung Oktober tahun ini.
Upacara yang berlangsung di Bilik Pameran QAF Auto hari ini menyaksikan Pengurus Besar QAF Auto, Sivakumar Krishnan bersama pereka dan pengasas Korudein, Dayang Nadeharah Hazwannee menandatangani perjanjian kerjasama secara rasmi.
“Kami ingin membina sebuah platform untuk mempamerkan semua kereta terpakai bagi kemudahan dan keselesaan pelanggan dan tiada yang lebih baik daripada mempunyai laman web sehenti untuk semua ini,” jelas Sivakumar yang percaya dan menyokong sepenuhnya aspirasi usahawan dari Kolej Perdagangan Laksamana.”
Kerjasama dengan Kolej Perdagangan Laksamana itu dimeterai untuk melahirkan usahawan yang beraspirasi dalam membangun syarikat permulaan berpotensi tinggi di negara ini selain menjadi jalan bagi projek kerjasama antara akademi berkenaan dengan pakar industri berkenaan.