Inisiatif bebas botol plastik dapat sambutan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 FEB – Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei ke-36 yang diraikan dengan penuh gilang-gemilang, hari ini, Green Brunei bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta menyediakan dispenser air di tempat-tempat strategik bagi mengurangkan penggunaan botol plastik sebagai satu inisiatif Bandarku Bebas Botol Plastik.

Ia selaras dengan ‘Inisiatif Bebas Botol Plastik’ pihak Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan, yang diperkenalkan pada 2018.

Inisiatif berkenaan ditaja oleh Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd dan Brunei LNG Sdn Bhd serta disokong oleh Urus Setia Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), JASTRe, Kementerian Pembangunan, Bahagian Khidmat Bantu, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Progresif Cellular Sdn Bhd dan Kim Teck Cheong Grandtop Sdn Bhd.

Green Brunei adalah projek daripada pelajar-pelajar Universiti Brunei Darussalam dan merupakan inisiatif ahli komuniti iaitu Dayang Nazurah dengan disokong oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari.

Salah seorang ahli Projek Green Brunei, Awang Muhammad Hairol Azmi bin Haji Muin ketika ditemui menjelaskan, mereka mengendalikan dua acara semasa sambutan Hari Kebangsaan itu Kempen Bandarku Bersih dan Bandarku Bebas Botol Plastik.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan bergambar ramai bersama ahli-ahli Green Brunei.

Mengulas mengenai Inisiatif Bandarku Bebas Botol Plastik, beliau berkata, mereka menyediakan beberapa botol besar air percuma untuk orang ramai yang hanya perlu menyedia botol-botol mereka sendiri.

Projek Bebas Botol Plastik bertujuan untuk meningkatkan lagi kesedaran mengurangkan penggunaan botol plastik pada acara-acara keramaian.

“Setakat ini, kami telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, di mana kami menyediakan sebanyak lapan petak untuk projek Bebas Botol Plastik di sekitar Bandar Seri Begawan,” ujarnya.

Turut menyokong Projek Bebas Botol Plastik dan meninjau keadaan kawasan petak Bebas Botol Plastik Green Brunei ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengirah Haji Mahmud.