Thursday, April 24, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif bersama anjur Kursus Fisiologi

    Oleh Hasrulraizan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Feb – Seramai 44 orang jurulatih dan penolong jurulatih kelab bola sepak dan futsal tempatan serta pegawai pendidikan jasmani dari Kementerian Pendidikan, kini giat menyertai Kursus Fisiologi anjuran bersama Suruhanjaya Tinggi Republik Singapura di negara ini dan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD).

    Kursus selama tiga hari di NFABD House berkenaan dimudahcara oleh pakar Perubatan dan Fisiologi Sukan di Institut Sukan Singapura, Dr Abdul Rashid Aziz, yang akan mengongsikan kajian ilmiah beliau berkaitan latihan dan keadaan atlet ketika berpuasa di bulan Ramadan.

    Selain itu, beberapa tajuk penting yang turut dikongsikan di sepanjang kursus dari 6 hingga 8 Februari itu adalah kajian kes teori dan amali seperti Sistem Otot dan Tenaga, Dasar Latihan, Kehendak Fisiologi dalam Bola Sepak, Latihan Aerobik dan Anaerobik, dan lain-lain lagi.

    Para peserta yang menyertai Kursus Fisiologi NFABD bergambar ramai bersama Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura bersama Awang Morni (tengah).
    Para peserta yang menyertai Kursus Fisiologi NFABD bergambar ramai bersama Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura bersama Awang Morni (tengah).

    Membuka rasmi kursus pendek itu ialah ExCo NFABD, Awang Morni bin Haji Zakaria. Hadir selaku tetamu istimewa pada majlis pembukaan itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Awang Lim Hong Huai.

    Hadir sama ialah Pemangku Setiausaha Agong NFABD, Awang Rosdin bin Haji Abdul Aziz, Pengarah Teknikal NFABD, Awang Mike Wong serta beberapa orang lagi ExCo dan pegawai NFABD.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda