Inisiatif BIBD bantu pengusaha kecil tempatan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MEI – Penularan wabak COVID-19 bukan sahaja membimbangkan warga dan penduduk negara ini malah turut memberi kesan terhadap perniagaan.

Sehubungan itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) mewujudkan idea Community for Brunei dengan tujuan untuk menyediakan pasaran alam maya bagi membolehkan orang ramai memberi sokongan dengan membeli daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar bin Haji Mohd Jaafar dalam kenyataan berkata, memberi balik kepada masyarakat dan membantu pertumbuhan perniagaan kecil adalah tonggak BIBD.

Menurut beliau, pihaknya sangat bangga dapat memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan dan pada masa sama, melindungi kehidupan pengusaha PMKS.

Beliau menambah, platform Community for Brunei turut menunjukkan komitmen BIBD ke arah transformasi digital di mana pasaran alam maya berkenaan memanfaatkan teknologi untuk menyatukan komuniti, menyediakan ekosistem dalam talian dengan pembayaran digital sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan masyarakat beralih kepada
ekonomi tanpa tunai.

Hajah Nurul Akmar bersama warga BIBD yang terlibat dalam platform Community for Brunei. – Gambar serahan BIBD

Kenyataan menyatakan, platform berkenaan telah melancarkan dua projek komuniti iaitu Community for COVID dan Community for Ramadan.

Community for COVID yang dilancarkan pada 17 April lalu diwujudkan untuk pengusaha kecil negara ini mengembangkan kemampuan mereka untuk menjana pendapatan dan juga membantu menyokong petugas barisan hadapan melalui platform pasaran dalam talian yang dapat diakses.

Pelanggan dapat membeli makanan dan minuman, pakej dan perkhidmatan penjagaan daripada platform berkenaan yang kemudian akan dihantar terus kepada petugas barisan hadapan di pusat-pusat kesihatan dan hospital-hospital seluruh negara.

Keperluan untuk petugas barisan hadapan akan dimaklumkan secara tepat kepada orang awam melalui penghitungan dalam talian di mana orang awam dapat memilih pakej penjagaan dan sumbangan yang boleh dibeli terus daripada laman web dan dihantar ke barisan hadapan.

Pendekatan supply and demand diharap dapat memastikan pengagihan sumbangan yang lebih berkesan serta mengurangkan pembaziran.

Community for Ramadan yang dilancarkan pada 23 April lalu pula adalah ‘gerai Ramadan alam maya’ yang membolehkan orang ramai membeli makanan dan minuman daripada pengusaha mikro dan kecil termasuk vendor yang lazimnya menyertai gerai Ramadan tahunan anjuran agensi kerajaan.

Turut mengambil bahagian dalam projek Community for Ramadan adalah pelbagai pengusaha SEED BIBD seperti golongan ibu kurang berkemampuan tetapi berjaya membangunkan perniagaan mereka dan juga pengusaha mualaf di bawah Pusat Dakwah Islamiah dengan sokongan BIBD.

Vendor-vendor yang ingin mneyertai projek berkenaan, perlu mendapatkan pendaftaran 16/17 daripada Pendaftar Syarikat-syarikat, membuka akaun PMKS dan daftar bagi QuickPay.