Inisiatif BRI satukan ASEAN-China

Gambar serahan Infofoto

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Meskipun pandemik COVID-19 masih berterusan dan memberikan kesan kepada aktiviti perekonomian di seluruh dunia, ASEAN dan China telah mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan barang dagangan pada tahun 2020.

“Ia sekali gus mempertahankan kedudukan China sebagai rakan dagang nombor satu ASEAN,” jelas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2021 semasa dijunjung mengurniakan titah khas menerusi video rakaman semasa Majlis Pembukaan Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-18 di Nanning, Republik Rakyat China hari ini.

Para pemimpin dari negara anggota ASEAN dan Republik Islam Pakistan juga menyampaikan ucapan menerusi video rakaman semasa majlis pembukaan itu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya menekankan bahawa pertalian ekonomi dan perniagaan yang kukuh mempamerkan hubungan lama antara ASEAN dan China.

Baginda juga bertitah menyatakan tahun ini merupakan tonggak sejarah hubungan dengan Republik Rakyat China bagi menandakan ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-China, dan juga ulang tahun ke-30 jalinan hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa dijunjung mengurniakan titah khas sempena CAEXPO.
KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah menerusi rakaman video di CAEXPO.
Majlis Perasmian CAEXPO ke-18 di Nanning, Republik Rakyat China, kelmarin.

Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI), menurut Baginda, adalah pelan yang signifikan bagi meningkatkan hubungan serantau untuk menyatupadukan negara-negara.

BRI dapat memberikan peluang bagi negara-negara untuk bekerjasama di pelbagai bidang dan menerusi platform sub-serantau seperti BIMP-EAGA, akan dapat menyumbang kepada revitalisasi ekonomi negara secara inklusif.

Sekitar 18 tahun semenjak ianya diperkenalkan, CAEXPO terus menjadi platform penting untuk mempromosi perdagangan, pelaburan, pelancongan dan mengukuhkan hubungan ekonomi antara ASEAN dan China.

Sebelum mengakhiri titah, Baginda berkeyakinan acara-acara seperti ini dapat terus menjadikan China sebuah destinasi yang menarik bagi pengeksportan produk-produk ASEAN dan membantu meningkatkan hubungan perdagangan dan mengekalkan posisi China sebagai rakan dagang nombor satu ASEAN.

CAEXPO yang ke-18 tahun ini diadakan dari 10 hingga 13 September 2021. Tema ekspo pada tahun ini ialah Advancing Quality Belt and Road Initiative (BRI) Cooperation, Promoting Sustainable Development.

CAEXPO telah mewujudkan platform pertukaran yang cekap dan pragmatik bagi China dan negara-negara ASEAN untuk bekerjasama di dalam beberapa bidang tertentu yang berdasarkan kepada keutamaan pembangunan yang strategik menerusi persidangan dan forum peringkat yang tinggi.

Di sepanjang 17 tahun yang lalu, lebih daripada 200 forum dan persidangan peringkat tinggi telah diadakan secara sampingan, membincangkan pelbagai bidang penting dalam strategi pembangunan China dan negara-negara ASEAN.