Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OKT – Dalam sektor penjagaan kesihatan, perubahan iklim mendatangkan kesan yang sangat signifikan kepada semua lapisan masyarakat dan ia menjadi satu cabaran yang perlu diambil perhatian segera untuk membina kedayatahanan yang mampan.
Dalam jangka masa panjang, kesan bahaya perubahan iklim akan bergantung pada sejauh mana tindakan transformatif dan kawal selia yang diambil pada masa ini untuk mengurangkan pelepasan karbon dan sekali gus mengurangkan kesan yang memudaratkan pada masa hadapan.
Di negara ini, perubahan iklim telah terbukti berlaku menurut kajian dari Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam (BDMD) yang menjangkakan dalam tempoh 30 tahun akan datang, Brunei berkemungkinan akan mengalami peningkatan suhu pada kadar 0.4 darjah Celsius setiap dekad.
“Dari 2021 hingga 2051 pula, hujan diunjurkan meningkat 5.0mm setahun. Unjuran ini akan memberi kesan kepada kesihatan penduduk dan sistem penjagaan kesihatan di negara ini.”
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Inisiatif Kelestarian Kementerian Kesihatan yang berlangsung di Dewan Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau seterusnya menyatakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa 5 peratus daripada pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) adalah daripada sektor penjagaan kesihatan.
“Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan melalui Alliance for Transformative Action on Climate and Health (ATACH) komited terhadap Sistem Kesihatan Berdaya Tahan Iklim dan Sistem Kesihatan Lestari Rendah Karbon.”
Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa Pasukan Petugas Kelestarian, Kesihatan dan Iklim pada 26 September lalu telah mengadakan bengkel pertama Hospital GreenPossible di Daerah Temburong di mana bengkel itu merangkumi kerja Operasi Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk membina sistem berdaya tahan iklim dan rendah karbon, Matlamat Hospital Hijau dan Sihat Global dan Protokol Hijau Brunei Darussalam.
Beliau menyatakan bahawa pelancaran Inisiatif Kelestarian menggariskan komitmen dan usaha Kementerian Kesihatan untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang menitikberatkan budaya penjimatan seperti penggunaan tenaga, air, kertas, pengurusan sisa perubatan dan infrastruktur kepada semua kakitangan di kesemua hospital serta pusat-pusat kesihatan di Negara Brunei Darussalam.
Semenjak penggunaan sistem BruHealth pula, jelasnya, Kementerian Kesihatan dapat mengurangkan 1.5 juta penggunaan kertas yang bersamaan dengan 3,750 kilogram karbon setiap tahun.
“Penggunaan BruHealth untuk perkhidmatan telekonsultasi, tempah temu janji secara dalam talian juga dapat mengurangkan penggunaan kertas dan penggunaan kereta untuk hadir ke pusat kesihatan yang mana mengurangkan kira-kira 5 ke 10 kilogram pelepasan karbon,” ujar beliau.
Selain itu, penggunaan teknologi pengimejan perubatan digital (PACS) juga dapat mengurangkan pemprosesan filem dan imbasan berulang yang bersamaan dengan 15 kilogram pelepasan karbon bagi setiap pesakit.
Walau bagaimanapun, anggaran sisa klinikal bagi kementerian berkenaan dalam masa setahun adalah sebanyak 1,030 tan iaitu bersamaan dengan $1.8 juta kos penghapusan. Yang Berhormat Dato berhasrat untuk mengurangkan sisa klinikal berkenaan sebanyak 30 peratus dalam masa 5 tahun.
“Kementerian Kesihatan berharap akan lebih ramai lagi yang akan memahami dan mengambil bahagian untuk membuat perubahan demi untuk mengurangkan kesan negatif daripada perubahan iklim yang memudaratkan kesihatan,” tambah beliau.
Caption: Gambar oleh Muiz Matdani