Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 31 Jan – Jawatankuasa Rumah Panjang Teraja Labi hari ini mengadakan kerja gotong-royong membina pagar penghalang jalan pintas ke Wasai Teraja bersebelahan dengan Pos Polis Teraja di sini, untuk mengelakkan kenderaan dan orang-orang perseorangan yang tidak berdaftar daripada memasuki atau melalui jalan kecil berkenaan.
Ia juga adalah bagi memudahkan pasukan polis hutan membuat pemantauan ke atas kemasukan mereka yang tidak berdaftar atau pelancong ke kawasan berkenaan bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini seperti sesat, lemas, banjir kilat, tanah susur, binatang buas, dan sebagainya.
Pembinaan pagar penghalang itu akan memudahkan lagi pihak pengurusan Rumah Panjang Teraja memeduli dan mengetahui statistik kedatangan pelancong atau pengunjung dari dalam dan luar negara ke kawasan Kampung Teraja.
Ini setentunya menjadi pemangkin dan penyumbang kepada kejayaan Satu Kampung Satu Produk menerusi projek eko pelancongan yang mesra alam selain meningkatkan lagi penglibatan masyarakat setempat dalam pembangunan.
Sebelum ini jalan tersebut sering kali digunakan sebagai jalan pintas oleh kenderaan serta pejalan kaki yang membuat lawatan ke wasai-wasai yang terdapat di kawasan hutan Kampung Teraja.
Dengan pembinaan pagar itu para pelancong akan disarankan supaya menggunakan laluan atau jalan utama iaitu melalui jalan asal hadapan Rumah Panjang Teraja.
Pada masa ini Rumah Panjang Teraja telah menjalin hubungan kerjasama dengan salah sebuah syarikat tempatan iaitu Sakam Adventure bagi tujuan meningkatkan lebih ramai lagi kemasukan pelancong. Bulan Januari ini saja kira-kira 200 orang pelancong dari dalam dan luar negara melawat ke situ.
Pihak pengurusan Rumah Panjang Teraja dan Sakam Adventure telah menyediakan kemudahan dan perkhidmatan untuk pengunjung dan pelancong seperti inap desa, bird watching, jungle tracking, jurupandu, anyaman dan kraf tangan, kebudayaan serta masakan tradisi ayam dalam buluh.
Setiausaha Ahli Jawatankuasa Rumah Panjang Kampung Teraja Labi, Awang Gaung Jamit, memberitahu, setiap pelancong disarankan melaporkan diri ke pos polis berkenaan sebelum mengadakan lawatan ke wasai-wasai atau Rumah Panjang Teraja atau sebelum memasuki kawasan hutan di kawasan persekitaran Kampung Teraja Labi.
Setiap pelawat atau pelancong juga diminta menyumbang pembayaran masuk $3 sahaja dan $1 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.