Friday, October 11, 2024
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inisiatif pembangunan jagung bijian bersepadu di Sabah, Sarawak

    KOTA KINABALU, 17 SEPT – Mesyuarat Jawatankuasa Penstabilan Harga (JPH) di Sabah, Sarawak dan Labuan yang diadakan hari ini bersetuju supaya inisiatif pembangunan jagung bijian secara bersepadu dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini bagi mengurangkan kebergantungan import sumber makanan industri ternakan yang selama ini menyumbang kepada faktor kos pengeluaran dan harga bekalan tinggi di pasaran.

    Beliau berkata mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, selaku Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu turut memutuskan supaya kerajaan Sabah dan Sarawak dilibatkan secara kolaboratif dan holistik dalam inisiatif tersebut.

    “Penglibatan (kerajaan Sabah dan Sarawak) adalah melalui Jawatankuasa Industri Jagung Bijian Negara (NGCIC) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mesyuarat juga mengambil maklum inisiatif dan syor dikemukakan kerajaan kedua-dua negeri itu dan meminta supaya ia dijadikan rujukan dalam Kajian Penstabilan Harga Sabah, Sarawak dan Labuan serta dipertimbangkan oleh kementerian serta agensi Persekutuan berkaitan.

    Armizan berkata mesyuarat turut mengambil maklum mengenai dapatan awal Kajian Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Labuan yang telah dimulakan pada Mei lepas dan dijangka selesai November ini, sebelum dibentangkan kepada mesyuarat jawatankuasa itu pada Disember.

    “Hasil dan dapatan daripada kajian ini akan dijadikan sebagai asas pertimbangan bagi penambahbaikan inisiatif sedia ada dan cadangan inisiatif baharu pada masa akan datang berkaitan penstabilan harga di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya. – Bernama

    Datuk Armizan (dua kiri) semasa pelancaran program Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) KPWKM di Dewan Masyarakat Papar pada 19 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda