Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Dalam usaha untuk menggalakkan orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat, ActivFitness Studio telah mengadakan acara Zumba 1 Nation Free Workout yang berlangsung di Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kiulap, kelmarin.
Acara yang berlangsung selama sejam itu telah menarik lebih 30 orang peserta.
Pada acara tersebut, Zin Abby Abdullah dari ActivFitness Studio dan Zin Ezelyn dari Fit to Fab Fitness Studio telah menjadi tenaga pengajar bagi menunjuk cara gerakan-gerakan Zumba kepada para peserta.
Antara objektif program itu diadakan adalah untuk menggalakkan dan mempromosikan program terbaru dari Zumba Fitness iaitu Strong by Zumba yang kian meningkat naik namanya dan menjadi salah satu pilihan aktiviti kecergasan di Negara Brunei Darussalam.

Zin Abby Abdullah, 42, sempat memberitahu pihak Media Permata bahawa program seumpamanya akan selalu diusahakan sebagai rasa keprihatinan mereka bagi mengatasi dan mengurangkan masalah obesiti di negara ini.
Program yang diadakan bersempena tahun baru 2018 itu dianjurkan oleh ActivFitness Studio secara percuma bagi orang ramai tanpa mengira jantina dan peringkat usia.
Ia diharap dapat memberi semangat dan dorongan kepada orang ramai bagi melakukan senaman bersama keluarga dan rakan-rakan untuk memelihara tahap kecergasan diri.