Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Inisiatif rendah karbon Kem. Tenaga disambut baik

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Kementerian Tenaga telah mengadakan sesi muzakarah bersama Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Bilik Persidangan West Wing, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Sesi muzakarah berkenaan dihadiri oleh delegasi seramai 10 orang ahli MMN yang diketuai oleh Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari, di mana sesi muzakarah itu dipengerusikan oleh Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.

    Turut hadir semasa sesi berkenaan ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Setiausaha Tetap, Haji Azhar bin Haji Yahya; Timbalan Setiausaha Tetap, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra serta pegawai-pegawai dari Jabatan Perkhidmatan Elektrik (JPE), Autoriti Elektrik Negara Brunei Darussalam (AENBD), Autoriti Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kebangsaan (SHENA) dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.

    Sesi berkenaan dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny. Dalam ucapan balasnya, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa mengucapkan tahniah kepada Kementerian Tenaga atas inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan terutama dalam memastikan pembekalan kuasa elektrik adalah stabil, efisien dan dapat diakses oleh semua.

    Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Kementerian Tenaga atas usaha dalam beberapa tahun kebelakangan ini kerana telah berjaya menjalankan beberapa projek tenaga yang boleh diperbaharui seperti projek di Pejabat Daerah Temburong serta beberapa projek yang akan datang.

    Yang Berhormat Dayang Khairunnisa semasa mengetuai rombongan MMN pada sesi muzakarah yang berlangsung di Jabatan Perdana Menteri.

    Inilah titik permulaan yang sangat penting dalam memastikan masa depan yang mampan walaupun Negara Brunei Darussalam adalah kecil dan sumbangan ke perubahan iklim adalah juga sangat kecil, jelasnya.

    Beliau turut menambah bahawa perkara tersebut tidak bermakna Brunei Darussalam tidak mampu untuk melahirkan negara yang neutral karbon melalui inisiatif-inisiatif seperti penanaman pokok, menggunakan tenaga yang boleh diperbaharui dan sebagainya.

    Di samping itu, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa juga menyatakan tahniah atas pelancaran program Net Metering bagi menggalakkan orang ramai untuk menggunakan solar panel di rumah masing-masing.

    “Ini mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai, namun kos yang tinggi masih menjadi penghalang dan inilah yang dapat diterokai dalam memastikan, insentif yang bersesuaian dapat diperkenalkan bagi membolehkan lebih ramai pemilik rumah untuk menggunakan solar panel di rumah masing-masing,” tambahnya.

    Beliau juga menyatakan bahawa isu keselamatan di tempat kerja terutama pekerja asing di tapak pembinaan, masih menjadi isu yang dibangkitkan oleh orang ramai. Dalam hubungan itu, jelasnya, peranan SHENA dalam hal itu adalah sangat penting bagi memastikan kemalangan dapat dielakkan.

    Sesi muzakarah berkenaan menyaksikan taklimat disampaikan oleh Haji Azhar yang mengongsi mengenai rancangan masa hadapan bagi sektor tenaga termasuk perkembangan projek-projek strategik utama.

    Beliau juga menyentuh mengenai pentingnya kolaborasi dengan pihak-pihak berkepentingan utama dalam pengurusan operasi semasa COVID-19 dan memupuk budaya pemuliharaan tenaga di kalangan masyarakat.

    Kementerian Tenaga dan badan-badan berkanun akan terus mengesahkan komitmen untuk memastikan keteguhan pengawalseliaan sektor tenaga.

    Sesi dialog itu merupakan sebuah acara tahunan yang bermatlamat untuk memupuk pertukaran dialog strategik mengenai peranan penting Kementerian Tenaga dalam membangunkan sektor tenaga negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...