PUTRAJAYA, 30 Mei – Sebanyak 27 perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 di Rusia akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sementara 14 perlawanan lagi merupakan siaran tertunda, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata butiran berkaitan penyiaran perlawanan bola sepak antarabangsa itu akan diumumkan Kementerian Kewangan esok.
“Kosnya akan dijelaskan oleh Kementerian Kewangan. Tetapi apa yang dapat saya katakan ketika ini bahawa angka yang dikatakan dalam perbincangan mesyuarat kabinet sebelum ini ialah kira-kira RM40 juta tetapi sudah tentu akan ada penaja dan sebagainya untuk menampung sebahagian daripadanya,” katanya.
Gobind berkata beliau tidak terlibat dengan usaha mencari penaja namun perkara itu akan diusahakan secepat mungkin.

“Harga siling ialah RM40 juta tetapi butiran tentang kos sebenarnya akan diumumkan esok. Saya jangkakan ia lebih rendah kerana apabila ada harga siling dan apabila ia dilakukan menerusi rundingan terus, kami akan cuba kurangkannya lagi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Berhubung cadangan penubuhan majlis media, Gobind berharap untuk membawa perkara itu kepada kabinet dalam dua minggu lagi.
“Kami telah nyatakan bahawa kami mahu menubuhkan majlis media. Kami dalam proses menyediakan strukturnya. Kami telah katakan ia akan melibatkan semua sektor dan akan cadangkan kepada kabinet dalam tempoh dua minggu,” katanya. – Bernama