Monday, March 27, 2023
21.7 C
Brunei

-

Inisiatif SHENA tingkat keselamatan dan kesihatan tempat kerja

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MAC – Autoriti Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) berhasrat memperkenalkan lebih banyak panduan kesedaran dan keselamatan bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat bagi semua sektor.

Berhubung kawalan penggunaan bahan kimia dalam industri pertanian pula, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof menekankan bahawa SHENA telah mengadakan beberapa sesi perjumpaan dengan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Antara inisiatif yang SHENA laksanakan termasuk meningkatkan kesedaran Jabatan Pertanian dan Agrimakanan mengenai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja serta membuat beberapa lawatan pemeriksaan bersama peladang-peladang pertanian dan ternakan.

Yang Berhormat Pehin memberikan jawapan tambahan itu kepada soalan yang dikemukakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin yang menyentuh peranan SHENA dalam kawalan penggunaan bahan kimia dalam industri pertanian semasa permesyuaratan MMN di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

Menurutnya lagi, usaha-usaha kesedaran itu akan diteruskan melalui kolaborasi yang lebih erat dalam meningkatkan tahap keselamatan di sektor berkenaan. Mengenai penggunaan kimia toksik, tidak ada peraturan khas yang memfokuskan kepada pengurusan kimia atau bahan-bahan berbahaya.

Walau bagaimanapun sebahagian daripada isu pengurusan tersebut terkandung di bawah Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja 2019 di mana SHENA menguatkuasakan penggunaan, penyimpanan, pembelian dan pengangkutan bahan kimia toksik di tempat kerja sahaja.

Yang Berhormat Pehin menerangkan ketika ini terdapat Akta Racun yang dikuatkuasakan serta diselenggarakan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

“Terdapat juga satu inisiatif di peringkat kebangsaan yang diterajui oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam menggerakkan agensi-agensi berkepentingan untuk membangunkan satu peraturan nasional yang holistik mengenai pengambilan bahan kimia ini.”

Pada 2021, tambahnya, SHENA telah mengeluarkan Nota Panduan Industri berhubung dengan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) di mana antara kandungannya ialah penggunaan alat-alat keselamatan bersesuaian untuk menangani kegiatan-kegiatan tertentu seperti sarung tangan untuk bahan kimia, alat pernafasan, cermin mata dan sebagainya.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Menteri luar NZ luah kerisauan terhadap china

BEIJING, 26 MAC - Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta telah menyatakan kebimbangan kepada China mengenai sebarang peruntukan bantuan mematikan untuk menyokong Rusia dalam...
- Advertisment -