Inisiatif tingkat literasi digital

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 SEPT – Seramai 12 peserta orang kelainan upaya (OKU) telah berjaya menamatkan Bengkel Go Digital ASEAN dan menerima sijil masing-masing pada majlis yang diadakan di Dewan Darul Imtiyaz, Pusat Bahagia Brunei dan Muara, Kampung Pulaie, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan sijil penyertaan pada majlis anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama Big BWN Project itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan di KKBS, JAPEM dan Big BWN Project.

Bengkel berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif Go Digital ASEAN Brunei Darussalam untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan belia yang menganggur, orang kurang berkemampuan dan OKU.

Selain di Pusat Bahagia Brunei dan Muara, bengkel berkenaan juga telah dilaratkan di Pusat Bahagia Tutong, Temburong dan Belait.

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika diberikan penerangan mengenai Bengkel Go Digital ASEAN sambil menyaksikan aktiviti yang dijalankan semasa bengkel tersebut.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta bengkel.