Thursday, December 5, 2024
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    InnoConnect untuk perkhidmatan lebih baik

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Datastream Digital Sdn Bhd (DST), telah menandakan satu lagi pencapaian penting dengan pelancaran InnoConnect, lebuh raya digital yang membolehkan akses-akses kepada perkhidmatan berjalan lancar dan dalam masa sebenar.

    Ia merupakan platform pertukaran data modular, mudah digunakan dan selamat serta merupakan komponen infrastruktur digital teras dalam laluan DST menuju transformasi digital.

    Pelancaran InnoConnect telah disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat DST, hari ini.

    Menurut kenyataan yang diberikan, DST memahami bahawa dalam era digital baharu ini, sambungan kepada perkhidmatan dengan beberapa klik memberikan kemudahan yang besar dan sangat penting bagi pelanggannya. DST memanfaatkan peluang itu di InnoConnect untuk melihat bagaimana perkhidmatan dapat disampaikan dengan lebih baik, bagaimana untuk mengelakkan perulangan (duplication) usaha, memanfaatkan data dengan lebih baik, dan menyampaikan perkhidmatan secara digital.

    InnoConnect menyediakan kerangka penyampaian perkhidmatan untuk berkongsi maklumat yang tepat dan lancar pada masa yang sama melindungi maklumat, tambah kenyataan.

    Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni dalam ucapan alu-aluannya menekankan, “InnoConnect adalah penterjemah, pengurus aliran kerja, perapat jurang, pengantara bagi masyarakat, perkhidmatan, platform, pangkalan data dan yang lebih penting lagi saluran bagi inovasi masa depan menjadi ekosistem digital yang terus berkembang.

    “Untuk membuka potensi penuh ekosistem platform, InnoConnect boleh dilengkapkan dengan penggunaan interaksi pelanggan omni-channel kepada perkhidmatan sektor-sektor awam dan swasta,” tambah beliau.

    Dalam melancarkan InnoConnect, DST akan dapat menyokong sektor awam dan swasta untuk membolehkan penyambungan, interoperabiliti dan mudah alih yang lancar di seluruh perkhidmatan yang berasaskan ekosistem yang kompleks. Dengan merapatkan jurang, ia dapat mengubah cara individu, perniagaan dan penyedia perkhidmatan berinteraksi antara satu sama lain, menjadikannya lebih mudah untuk menjangkau semua masyarakat Brunei.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi semasa melancarkan InnoConnect di Ibu Pejabat DST.- Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda