TOKYO, 12 JAN – Juara dunia super-bantamweight Jepun, Naoya Inoue, akan menentang petinju Korea Selatan, Kim Ye-joon, bulan ini selepas Sam Goodman menarik diri daripada pertarungan gelaran yang dijadualkan akibat kecederaan, kata gim Inoue, kelmarin.
Pertarungan Inoue yang belum pernah tewas pada 24 Januari menentang Goodman di Tokyo telah ditangguhkan daripada tarikh asalnya pada Malam Hari Natal selepas pencabar Australia itu mengalami luka di atas mata kirinya dalam perlawanan tinju Disember lalu.
Penganjur Goodman, No Limit Boxing, berkata Sabtu lalu petinju teratas IBF dan WBO berusia 26 tahun itu menarik diri daripada pertarungan selepas mengalami kecederaan dalam latihan.
“No Limit Boxing kesal untuk mengumumkan Sam Goodman terpaksa menarik diri daripada pertarungan yang dijadualkan menentang Naoya Inoue pada 24 Januari kerana kecederaan mata yang berulang,” kata penganjur dalam satu kenyataan.
“Kami mendoakan Sam pulih sepenuhnya dengan cepat dan akan memberikan maklumat terkini mengenai acara itu pada masa akan datang,” tambahnya.
Ohashi Gym Inoue berkata petinju itu, yang dikenali sebagai ‘Monster,’ tetap bertarung pada 24 Januari, tetapi sebaliknya akan menentang Kim, diberi ranking ke-11 oleh WBO.
Inoue yang berusia 31 tahun mempunyai rekod 28-0 dengan 25 knockout, manakala Kim yang berusia 32 tahun mempunyai 21 kemenangan, dua kekalahan dengan 13 knockout dan dua seri.
“Sudah tentu Inoue terkejut,” kata Presiden Ohashi Gym, Hideyuki Ohashi, kepada pemberita di Yokohama.
“Ia adalah pengalaman pertamanya berdepan petinju berbeza selepas penangguhan, tetapi Inoue dan saya melihatnya dengan perspektif positif,” katanya. – AFP
