Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Inovasi dalam memelihara khazanah lagu klasik

    ATLANTA – Tatkala seorang pelajar kolej dan penggemar muzik, Lance Ledbetter berasa kecewa kerana tidak berpeluang untuk mengongsikan alunan muzik indah dari era 1920-30-an dia mula mendapat idea untuk kembali mengeluarkan semula koleksi lagu-lagu lama tersebut dan meletakkkan di kedai miliknya.

    Ledbetter bersama isterinya juga telah menubuhkan syarikat label rekod mereka tersendiri, Dust-to-Digital.

    Mula berjinak dalam perniagaan koleksi rekod-rekod lagi sejak dari tahun 2003 lagi dan hanya beroperasi secara kecil-kecilan di kawasan kejiranan Atlanta.

    Penduduk di kawasan kejiranan yang terletak di kawasan agak terpencil itu memang gemar mendengarkan alunan muzik klasik seperti irama jaz dan blues yang suatu ketika dahulu pernah menjadi satu siulan.

    Sekurang-kurangnya sembilan daripada koleksi rekod yang tersimpan pernah tercalon dan satu daripadanya juga pernah dinobatkan sebagai pemenang dalam Anugerah Grammy.

    Voice of Mississippi merupakan salah satu rekod terbaru keluaran Dust-to-Digital. – AP
    Lance Ledbetter memegang salah satu produk uniknya keluaran syarikat rekod yang diusahakan bersama dengan isterinya, April Ledbetter. – AP

    Terdapat pelbagai rekod muzik yang tersimpan dalam koleksi mereka merangkumi irama blues Amerika, lagu tradisi Maghribi, alunan bunyi hap, nyanyian tersendiri dari wilayah Tuva di barat Mongolia, penceritaan dan lain-lain.

    “Saya rasa dengan tertubuhnya syarikat ini secara tidak langsung akan dapat mewujudkan akses kepada para penggemar muzik dan pendengar baru untuk kembali menikmati alunan muzik yang suatu ketika dahulu pernah menghiburkan halwa telinga ramai individu pada suatu ketika dahulu terutama apabila mengambil kira mengenai muzik yang dianggap sebagai satu trend pada masa kini,” jelas April Ledbetter.

    Dalam majalah muzik indie Pitchfork, Amanda Petrusich yang merupakan seorang pengulas ruangan muzik pernah memuji usaha dilakukan oleh Dust-to-Digital yang dianggap sebagai satu langkah untuk memelihara irama tradisi dan khazanah lagu-lagu rakyat di AS.

    “Lance dan April Ledbetter adalah merupakan contoh individu terbaik dalam pengumpulan khazanah lagu-lagu penuh nostalgia di era moden ini. Lebih membanggakan lagi apabila mereka hanya memulakan aktiviti tersebut bermula dari ruang bawah tanah di rumah kecil mereka,” tulis editor majalah The Bitter Southerner, Chuck Reece.

    Bulan ini dua rekod muzik baru turut dijangka bakal dilancarkan iaitu koleksi rakaman lagu-lagu dari Mississippi, Afrika Timur dan Tengah.

    Kumpulan koleksi lagu dari Mississippi merupakan usaha gigih terbaru dilaksanakan oleh Ledbetter setelah sebelum ini berjaya melancarkan Goodbye Babylon dan The Art of Field Recording, Vol.1 berjaya mendapat perhatian yang sangat menggalakkan.

    Voices of Mississippi merupakan sebuah rekod yang mengumpulkan rakaman yang dilakukan oleh ahli muzik, ahli akademik dan pencipta filem dokumentari, William Ferris. Bahan-bahan rakaman itu dikumpulkan daripada arkibnya di Southern Folklife Collection di Universiti North Carolina di Chapel Hill.

    Ferris yang memiliki latar pendidikan dari Yale telah berusaha untuk mengembangkan kajian akademik sekali gus turut berkhidmat sebagai pengasas di Pusat Pengajian Budaya Selatan di Universiti Mississippi.

    Kebanyakan hasil kerja yang diusahakannya adalah hasil inspirasi dari rasa cintanya terhadap alunan muzik Afrika Amerika dan turut berkesempatan merakamkan muzik tradisi Mississippi.

    Goodbye Babylon adalah rekod istimewa yang berjaya disempurnakan dalam tempoh empat tahun enam bulan. – AP

    “Ibu bapanya memiliki ladang dan dia memang sering mendengarkan alunan muzik tersebut tidak kira sama ada di rumah mahupun di ladang,” jelas Lance Ledbetter.

    Listen All Around yang baru dilancarkan pada awal bulan ini pula mewakili irama muzik popular pada tahun 1950-an oleh ahli muzik dari British, Hugh Tracey yang juga sangat mengagumi irama muzik dari Afrika.

    “Kebanyakan muzik dalam rekod tersebut adalah berentak pop namun ia tetap masih menggambarkan irama muzik Amerika,” jelas Lance Ledbetter.

    Sebagaimana dengan produk lain keluaran Dust-to-Digital, rekod yang dilengkapi dengan visual karya seni menarik dan rakaman terbaik itu memang berjaya mendapat perhatian.

    Sementara Voices of Mississippi terdiri daripada tiga cakera padat (CD) dan satu cakera video digital (DVD) yang memperlihatkan rakaman dokumentari dihasilkan oleh Ferris.

    Selain itu, rekod tersebut juga turut dilengkapi dengan buku yang memiliki 119 halaman mengandungi esei hasil tulisan Ferris, lirik lagu dan koleksi gambar Ferris.

    Istimewanya, Goodbye Babylon yang merupakan produk pertama dilancarkan oleh Dust-to-Digital dilengkapi dengan enam CD yang terdiri daripada lima CD mengandungi koleksi rakaman lagu dan satu lagi mengandungi rakaman ceramah. Turut diberikan adalah sebuah buku dan kapas keluaran dari ladang bapa saudara Lance Ledbetter.

    Hakikatnya, pasangan tersebut memang menghadapi pelbagai cabaran dalam merealisasikan rekod Goodbye Babylon yang memakan masa selama empat tahun enam bulan untuk dihasilkan pada tahun 2004 sekali gus turut berjaya mendapat pencalonan di Anugerah Grammy.

    Detik kenangan terindah Ledbetter adalah apabila penyanyi rock telah memuji Goodbye Babylon melalui sebuah segmen yang ke udara di radio awam.

    “Sejujurnya saya memang sangat terkejut ketika itu sehingga turut merasakan hendak pengsan namun saya bersyukur kerana usaha saya telah diterima dengan baik di mana ia setentunya menjadi satu pencapaian,” jelas Ledbetter. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda