Inovasi demi kelangsungan perkhidmatan pos

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Negara Brunei Darussalam dan negara-negara ahli Kesatuan Pos Sedunia (UPU) memperingati Hari Pos Sedunia setiap 9 Oktober, di mana pada tahun ini membawa tema Innovate to Recover.

Tema itu menekankan kepentingan inovasi perkhidmatan pos dalam membantu dunia semasa menghadapi situasi pandemik COVID-19.

“Aktiviti e-dagang dan pembelian secara dalam talian melalui platform e-dagang mengalami peningkatan yang ketara, lebih-lebih lagi sejak penularan wabak COVID-19.

“Dalam menghadapi gelombang kedua wabak COVID-19 ini, Jabatan Perkhidmatan Pos merekodkan peningkatan penerimaan bungkusan dari luar negara iaitu daripada 26,152 pada Julai 2021 dan 16,030 pada Ogos 2021 kepada 42,407 pada September 2021.”

Menteri Pengangkutan dan Info-komunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof (gambar) berkata sedemikian dalam perutusan sempena Hari Pos Sedunia 2021.

Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa dengan mengambil kira peningkatan itu, penyedia perkhidmatan pos dan pos laju perlu menyesuaikan dan mempersiapkan diri bagi menangani jumlah bungkusan yang perlu dikendalikan.

“Ini termasuklah menjalankan perkhidmatan contactless delivery bagi memastikan keselamatan pekerja perkhidmatan pos dan pelanggan,” tambahnya.

Jelasnya lagi, “Pendekatan yang lebih inovatif dan berteraskan pelanggan adalah penting bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan yang diberikan mengikut proses, garis panduan dan prosedur operasi standard yang dikemas kini berdasarkan keperluan semasa.”

Beliau berkata bahawa antara pendekatan inovatif yang diambil adalah dengan tampil berperanan sebagai rakan logistik kepada platform e-dagang bagi sama-sama memastikan proses penghantaran dapat berjalan dengan lancar.

“Dalam hal ini, bagi mendukung permintaan penghantaran barangan yang semakin meningkat, Jabatan Perkhidmatan Pos bekerjasama sebagai rakan kongsi logistik bagi pembelian secara dalam talian dengan platform e-dagang seperti eKadaiBrunei.

“Tujuan utamanya adalah untuk memberikan kemudahan kepada pelanggan bagi mendapatkan barangan keperluan harian melalui platform e-dagang, khususnya semasa mematuhi langkah-langkah pengawalan yang diperketat berikutan situasi pandemik COVID-19 ketika ini,” jelas beliau.

Perkara itu, ulasnya lagi, telah menjurus kepada peningkatan dalam penghantaran perkhidmatan pos laju sebanyak 20 peratus iaitu sebanyak 478 penghantaran barangan pada Ogos 2021, berbanding pada tahun sebelumnya.

Selain itu, penghantaran Pos Laju turut memberi sokongan kepada pemberian perkhidmatan secara dalam talian oleh pihak kerajaan (e-services), seperti dalam membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan.

Ini adalah antara langkah yang diambil bagi memastikan perkhidmatan pos turut mendukung perkembangan transformasi digital di negara ini.

“Setentunya, inisiatif seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi nilai tambah perkhidmatan (value added services) dan produk yang sedia ada,” tambahnya.

Keupayaan dan semangat untuk terus meneroka kaedah baharu perlu untuk terus ada dalam perkhidmatan pos.

Sebagai sektor yang tercabar dengan kemajuan digital, perkhidmatan pos juga perlu bijak merangka dan melaksanakan strategi bagi meraih peluang daripada kemajuan digital.

“Ini termasuklah lebih peka kepada permasalahan dan keperluan pengguna yang berharap kepada perkhidmatan pos untuk kelangsungan urusan mereka,” ujar beliau.

Oleh itu, kata Yang Berhormat Dato dalam perutusannya lagi, tema berkenaan adalah bertepatan untuk terus disematkan dalam perkhidmatan pos.

“Maklum balas dan cadangan orang ramai juga perlu diberi perhatian sebagai langkah pembaikan secara berterusan. Dari itu, tema Innovate to Recover bukan sahaja bermaksud untuk pulih daripada kesan pandemik COVID-19, tetapi juga untuk bangkit berganding bahu dengan kesemua pihak-pihak berkepentingan dengan pembaharuan dan inovasi dalam mendepani setiap cabaran yang dihadapi,” ujarnya lagi.