BANGKOK – Kehadiran semut dan serangga lain di dapur setentunya akan membuatkan prestasi sesebuah restoran akan terjejas sehingga berhadapan dengan risiko kepada penutupan dari operasi.
Namun ianya jelas menjadi menu unik dan popular di Thailand di mana ia turut disajikan bersama dengan hidangan istimewa yang lain.
Hidangan yang berasaskan serangga jelas bukan sesuatu yang baru di Thailand di mana hidangan kumbang goreng dan cacing mentega merupakan antara hidangan pilihan di kalangan penduduk tempatan dan para pelancong yang begitu teruja untuk menikmati hidangan baru.
Namun, salah sebuah restoran terkemuka di Thailand iaitu Insects in the Backyard telah berusaha untuk merevolusikan hidangan tersebut ke dalam bentuk sajian hidangan yang memiliki taraf yang lebih tinggi dan dinikmati oleh golongan elit.
“Masyarakat tempatan di Thailand telah lama mengamalkan pemakanan serangga dan mereka terus menikmatinya sebagai sejenis makanan ringan dan agak jarang untuk menikmatinya dalam bentuk hidangan atau masakan.
“Justeru, kami telah berminat untuk mengatur langkah baru bagi menonjolkan bahawa serangga tidak sewajarnya hanya dianggap sebagai makanan ringan namun ia juga berpotensi untuk menjadi satu hidangan yang istimewa dan lazat,” kata Regan Suzuki Pairojmahakij, pemilik bersama restoran tersebut.
Ternyata, perkara itu juga menjadi tanggungjawab kepada cef eksekutif, Thitiwat Tantragam yang memiliki pengalaman kerja yang cukup luas apabila dia pernah bekerja di beberapa buah restoran terkemuka di Thailand.
Bersama-sama dengan kumpulan kerjanya, mereka telah berjaya menghasilkan menu makanan unik dengan menampilkan tiga jenis serangga termasuk semut, cengkerik, ulat buluh, ulat sutra dan kumbang air gergasi.
“Ia merupakan satu pengalaman yang baru dan selagi kita bernafas di bumi ini kita wajar untuk terus menerokai lebih banyak perkara baru,” jelas Thitiwat yang sebelum ini lebih terbiasa menyediakan menu hidangan berasaskan daging dan ayam berbanding serangga di mana dia juga menganggap ia adalah sebuah proses pembelajaran dan perkembangan di dalam kehidupannya.
Kelvarin Chotvichit, seorang peguam dari Bangkok pula menjelaskan bahawa hidangan unik itu jelas memberikan penerangan rasa dan tekstur yang cukup berbeza.
“Ketika saya mula merasakannya, ia secara tidak langsung turut mengubah persepsi saya terhadap serangga dan menganggap ia juga sesuai untuk dijadikan bahan makanan malah ia juga turut memiliki rasa yang cukup enak dan jauh sekali daripada rasa pelik sebagaimana yang difikirkan oleh kebanyakan orang.
Rasanya yang cukup ranggup setentunya dapat memenuhi cita rasa saya,” jelas Chotvichit.
Pakar makanan Petubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menekankan bahawa serangga memang memiliki nutrisi makanan yang agak baik sejak beberapa tahun lalu di mana kajian telah memperlihatkan bahawa serangga mengandungi kadar protein yang tinggi, lemak yang baik dan mineral berbanding produk daging.
Peruncit, Amornsiri Sompornsuksawat merupakan salah seorang pembekal di Restoran Insects in the Backyard dan menjelaskan bahawa serangga kini mampu membuka selera individu pada masa ini.
“Saya berharap akan lebih ramai individu yang berani untuk cuba menikmati hidangan yang menggunakan bahan masakan terdiri daripada serangga dan dari masa ke semasa kami akan sentiasa berusaha untuk memperkenalkan menu baru berasaskan bahan masakan itu agar khalayak akan terus teruja untuk cuba menikmatinya,” jelas Sompornsuksawat.
Insects in the Backyard baru sahaja beroperasi dalam tempoh kurang daripada satu bulan dan ia jelas mengetahui misinya untuk mempromosikan makanan yang berasaskan serangga berada pada landasan yang betul.
Amornrat Simapaisan, seorang pengurus kedai tempatan mengongsikan rasa gembiranya ketika menikmati salad semangka yang dihidangkan bersama dengan cengkerik yang dinikmatinya baru-baru ini.
“Rasanya cukup lazat dan menepati cita rasa saya,” jelas Simapaisan.
Namun salah seorang rakannya juga menjelaskan bahawa antara pengalaman yang dirasakan ketika menikmati hidangan di restoran itu adalah rasa jijik yang sukar untuk dibendung.
“Saya terpaksa mengatasi rasa jijik yang tergambar dalam fikiran saya ketika menikmati
hidangan unik itu namun hakikatnya ia jelas memiliki rasa yang agak biasa dan tetap sesuai untuk dimakan,” jelas Patr Srisook, seorang jurugambar bebas.
Restoran tersebut juga menetapkan moto yang tersendiri iaitu Nilai kami berdasarkan hidangan yang disajikan. – AP