FAIRFIELD, Connecticut – Pad pendaratan helikopter kekal merupakan antara beberapa kesan peninggalan yang dapat di saksikan di kawasan kampus Universiti Sacred Heart berkeluasan 69 hektar, sekali gus memperlihatkan bahawa ia pernah menjadi tapak ibu pejabat antarabangsa kepada General Electric (GE).
Bangunan era 1970an itu pernah menjadi pejabat korporat AS, Jack Welch dan seiring dengan pemindahan pejabat utama GE ke Boston pada tahun 2016, maka secara tidak langsung inovasi turut dilaksanakan bagi menjadikannya sebagai sebuah universiti yang kini banyak menempatkan ruang kerja kepada para profesor.
Di seluruh negara, kebanyakan taman-taman di kawasan pejabat mula kehilangan sinarnya terutama apabila ia telah diubahsuai menjadi bangunan bagi bilik kuliah.
Arkitek kolej dan sekolah kini semakin kreatif dalam melakukan kerja-kerja pengubahsuaian pada ruang pejabat lama untuk dijadikan sebagai institusi pengajian terutama dalam menyedari akan kekurangan tapak bersesuaian bagi projek pembinaan tidak kira di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Profesor Sains Komputer di Universiti Sacred Heart, Profesor Bob McCloud menjelaskan bahawa dia memang sangat memuji akan rekaan jendela yang secara tidak langsung dapat memancarkan cahaya bagi menerangi kawasan bilik kuliah.








Manakala, bilik-bilik kecil yang terdapat di luar pejabatnya pula dijadikan ruang bagi pengajian pelajarnya di peringkat sarjana.
Bagaimanapun, dia tetap mengakui masih menyesuaikan diri dengan pengajian di bekas tapak GE itu.
“Ia secara tidak langsung menerbitkan suasana korporat pada ruang pembelajaran,” jelasnya.
Sebanyak 28 bilik tidur dan sebuah bilik tarian tetap dikekalkan oleh pihak universiti itu bagi mendukung program perhotelan yang baharu.
Kerja-kerja pengubahsuaian dilihat terus dilaksanakan di dua buah bangunan utama. Bagaimanapun pihak universiti telah memindahkan jabatan pendidikan, sains komputer dan kejuruteraan ke lokasi baharu dikenali sebagai Kampus Barat yang boleh dihubungkan dengan menaiki bas dari kawasan kampus utama.
Michael Kinney, seorang pentadbir universiti menjelaskan bahawa sebanyak AS$31.5 juta telah dibayar untuk memiliki hartanah itu, di mana ia dikatakan lebih rendah berbanding dengan membangunkan bangunan baharu.
Idea yang sama juga telah dipertimbangkan di beberapa kawasan pesisir pantai Connecticut iaitu Stamford yang mana beberapa buah tapak bangunan yang dikosongkan turut dirancang untuk dijadikan sebagai kawasan pembinaan sekolah.
Di samping itu, terdapat beberapa contoh di beberapa tempat yang lain.
Atlanta
Ketika Sekolah Awam Atlanta membuat keputusan untuk membangunkan sebuah sekolah menengah pada sebuah bangunan menara yang memiliki 11 tingkat, yang, merupakan bekas pejabat kepada IBM, ternyata ramai arkitek mendapati bahawa struktur yang terdapat dalam bangunan tersebut memang sesuai untuk dijadikan sebagai bilik darjah.
Sementara itu, bangunan setinggi sembilan tingkat yang juga berada di tanah berkeluasan 56 hektar telah dirobohkan bagi memberi ruang kepada pembinaan gimnasium dan auditorium.
Tangga turut dibina bagi memudahkan perjalanan di antara satu aras ke aras yang lain, sekali gus ia juga turut mengelakkan daripada kesesakan yang berpotensi berlaku di kawasan lif.
Di samping itu, lapisan kaca yang lebih tebal juga turut dipasangkan di semua tingkap bangunan tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini terjadi terutama apabila pelajar berkumpul dan bersesak-sesak di kawasan yang agak sempit.
Struktur binaan dapur dan kafeteria IBM juga terus dikekalkan dan ada juga di antaranya yang turut menjalani pengubahsuaian.
“Setentunya lampu kristal tidak sesuai untuk dipasangkan di bahagian ruang kafeteria kanak-kanak dan perubahan harus dilaksanakan,” jelas Bob Just, seorang arkitek yang bertugas di bawah firma Cooper Carry di Atlanta.
Sekolah Menengah Atlanta Utara itu telah mula beroperasi pada tahun 2013.
Bangunan IBM itu pernah menjadi sebuah pejabat yang menjadi ruang kerja kepada 5,000 orang pekerja pada suatu ketika dahulu namun jumlah tersebut dikatakan berkurang sehingga 1,000 orang apabila ramai yang memilih untuk bekerja di rumah atau mengunjungi pelanggan secara langsung.
Alexandria, Virginia
Dengan peningkatan jumlah pelajar yang semakin ramai dan kawasan yang agak terhad, arkitek di bandar Alexandria telah mula mengambil peluang kepada bekas tapak ibu pejabat Persatuan Diabetes Negara yang dikosongkan untuk direnovasi dan dijadikan sebagai sebuah sekolah.
Pada bulan September lalu, bangunan itu telah dibuka semula di mana ia dikenali sebagai Sekolah Rendah Ferdinand T. Day yang dinamakan sempena nama peguam bela hak asasi yang pernah bertugas untuk desegregasi di Alexandria.
Bahkan ruang letak kereta yang luas bersebelahan dengan bangunan itu juga telah diubah suai untuk dijadikan sebagai ruang permainan termasuk sebuah gelanggang bola keranjang di atas bumbung.
Sementara jambatan jalan kaki turut dibina bagi menghubungkan di antara tingkat tiga pada bangunan tersebut dengan kawasan permainan yang setentunya menjadi tumpuan murid-murid di sekolah tersebut.
Empat tingkat daripada bangunan tersebut telah diubah suai untuk dijadikan sebagai bilik darjah dan dua tingkat teratas pada bangunan tersebut pula khusus dijadikan sebagai ruang pejabat kepada guru dan kakitangan sekolah itu.
Dengan binaan jendela yang luas ia setentunya memberikan pencahayaan sempurna kepada ruang bangunan sekolah itu.
Jurucakap sekolah, Helen Lloyd menjelaskan bahawa di samping dapat menjimatkan kos ternyata pengubahsuaian pada bangunan itu untuk dijadikan sebagai sebuah sekolah juga, ternyata memakan masa yang agak singkat berbanding untuk melakukan projek pembinaan bangunan baharu.
“Kami telah mula membicarakan projek ini Majlis Perancangan pada September lalu dan tidak menyangka dalam tempoh 11 bulan kemudian bangunan sekolah ini berjaya dibuka di mana ia memiliki infrastruktur bangunan yang hebat dan menarik,” jelas Lloyd.
Houston
Kawasan kejiranan Houston memang cukup terkenal sebagai lokasi projek kemajuan hartanah merangkumi kondominium, pangsapuri dan bangunan rumah kedai.
Ketika satu lokasi taman pejabat tersedia untuk dijual, sekolah swasta dari tengah bandar itu memutuskan untuk membeli hartanah seluas lima ekar itu.
Sekolah itu telah mula dibuka bagi pusat pendidikan kepada kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga Gred Lima pada September 2017.
Siling bangunan tersebut juga telah dinaikkan kepada satu aras bagi memberi ruang kepada gimnasium dan kawasan letak keretanya juga telah direnovasi untuk dijadikan sebagai taman permainan.
Bangunan berusia 30 tahun itu sebelum ini pernah menjadi pusat perniagaan yang menempatkan kedai basikal dan pejabat kutipan cukai sebelum ianya dijual kepada pihak sekolah swasta itu.
Pihak sekolah juga telah melakukan renovasi penuh kepada bangunan itu seperti mencat, menambah panel resin dan ternyata kerja-kerja pengubahsuaian itu juga lebih menjimatkan berbanding membina bangunan baharu.
“Saya tidak menyangka pelaksanaan projek yang sangat menarik ini juga boleh menjimatkan kos perbelanjaan,” jelas Pengarah Kemudahan Sekolah, Don Davis. – AP