Inovasi ‘kubur teksi’ jadi taman sayur mini

BANGKOK – Tempat pembuangan terbesar teksi berwarna Bangkok yang terbiar dan semakin rosak berikutan sekatan koronavirus, kini hidup semula dengan kebun sayur mini dan kolam katak yang dibangunkan untuk membantu pemandu yang tidak bekerja.

Di tempat letak kereta terbuka yang terletak di sebelah barat ibu kota Thailand ini, kelihatan pucuk hijau yang dibasahi hujan monsun bercambah di barisan bumbung dan bonet teksi berwarna merah jambu dan jingga. Kelihatan juga beberapa ekor katak kecil berjongkok di kolam sementara yang terbuat dari tayar lama yang terselit di antara 200 buah kereta yang terbengkalai.

Kawasan ini dimiliki oleh Ratchapruk Taxi Garage, yang menyaksikan sebahagian besar pemandunya keluar dari Bangkok untuk balik ke kampung halaman kerana penyewaan teksi mengalami penyusutan berikutan perintah berkurung.

“Ini adalah pilihan terakhir kami,” kata Thapakorn Assawalertkun, salah seorang pemilik syarikat, kepada AFP, mengatakan banyak kenderaan masih mempunyai pinjaman besar yang tertunggak.

“Kami merancang akan menanam sayur dan ladang katak di bumbung teksi-teksi ini.”

Thailand mengenakan sekatan ketat untuk menangani lonjakan kes COVID-19 dalam beberapa bulan terakhir, termasuk perintah berkurung pada waktu malam. Pelancong yang biasanya menjadi tumpuan pengusaha perkhidmatan teksi di Bangkok, telah hampir tidak memiliki sebarang penyewaan kerana peraturan yang dikenakan oleh kerajaan.

Terung, cili, timun, courgettes, dan basil yang tumbuh pada kereta bersama dengan katak akan membantu memberi makan pemandu dan pekerja yang tidak bekerja. Dan jika tanamannya bagus, mereka merancang untuk menjual lebihannya di pasar tempatan.

“Menanam sayur di atas atap tidak akan merosakkan teksi kerana kebanyakannya sudah rosak dan tidak dapat diperbaiki. Enjinnya rosak dan tayarnya pancit. Tidak ada yang dapat dilakukan,” kata Thapakorn. – AFP

Kelihatan beberapa orang pekerja mempersiapkan sayur yang hendak ditanam. – AFP
Kebun sayur-sayuran terlihat di bumbung kereta syarikat penyewaan teksi yang tidak berfungsi kerana kemerosotan perniagaan akibat wabak COVID-19 di Bangkok. – AFP
Di samping menjadikan kawasan sebagai taman sayur mini, ia juga digunakan untuk membina ladang katak kecil sementara yang diperbuat daripada tayar lama yang diletakkan di atas bonet teksi. – AFP