Inovasi mesin tukar sisa makanan jadi baja kompos

REMBAU, 6 SEPT – Anak syarikat Technology Park Malaysia (TPM), TPM Engineering Sdn Bhd telah mengambil inisiatif mencipta produk inovasi baharu yang boleh menukar sisa makanan menjadi baja kompos dikenali sebagai mesin NEO Compostech.

Pengurus TPM Engineering Roslan Muhamed berkata, sehingga kini, sebanyak 20 unit mesin Compostech bersaiz 50 kilogram (kg), 100 kg, 150 kg, 200 kg dan 250 kg daripada lima model yang melibatkan anggaran kos antara RM20,000 hingga RM150,000 telah dihasilkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata mesin NEO Compostech itu digunakan sebagai penyelesaian alternatif mengitar semula sisa makanan terutama kepada baja kompos organik dalam tempoh 24 jam.

“Proses penggunaannya mudah. Pengguna hanya perlu memasukkan sisa makanan organik dalam mesin itu, kemudian masukkan bakteria baik dan tetapkan suhu serta masanya. Dalam tempoh 24 jam akan terhasil baja kompos yang boleh digunakan untuk tanaman,” kata beliau.

Selain fungsi utama menukar sisa makanan kepada baja, ia juga dapat menghasilkan baja kompos lebih halus berbanding kaedah kompos secara semulajadi, kata Roslan kepada Bernama pada Minggu Sains Negara (MSN) 2020 peringkat Negeri Sembilan di sini. Beliau menjelaskan, proses pengkomposan menggunakan mesin itu tidak mengambil masa lama, tidak mengundang serangga dan tiada bau kurang menyenangkan selain membantu mengurangkan masalah pembuangan sisa makanan dalam negara.

Menurut Roslan, pihaknya selaku pembuat mesin turut bekerjasama dengan usahawan terpilih yang bertindak sebagai pembekal.

“Setakat ini, pembekal berkenaan telah membekalkan mesin tersebut ke beberapa lokasi antaranya Jabatan Pertanian Terengganu, hotel di Langkawi dan kawasan rehat dan rawat Lebuhraya Plus Malaysia Bhd (PLUS).

Dalam pada itu, beliau berkata penggunaan mesin kompos itu juga mampu meningkatkan pendapatan sampingan rakyat.

“Sebagai contoh, lebihan sayur-sayuran yang tidak boleh diguna dan rosak boleh dikitar semula menjadi baja kompos. Ia boleh dijual atau untuk kegunaan tanaman sendiri sekali gus menambah pendapatan dan menjimatkan perbelanjaan,” katanya. – Bernama